Friday, September 20, 2013

Malaysia Kekal Destinasi Pelaburan Pilihan, Kata Najib

Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan berdasarkan kewujudan beberapa faktor yang kondusif untuk melabur di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata faktor-faktor itu ialah wujudnya syarikat berkualiti, rangka kerja kawal aturan pasaran modal yang baik, perundangan kukuh bagi melindungi pelabur dan kerajaan yang komited terhadap pertumbuhan.

"Semua faktor ini meletakkan kita dalam kedudukan yang baik, bukan sahaja menarik pelaburan masa hadapan, malah menyediakan objektif yang lebih baik untuk menjadi negara maju menjelang 2020," katanya pada pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) Westports Holdings Bhd semalam.

Beliau berkata pendekatan usaha sama awam-swasta dibangunkan bagi mengurangkan beban pentadbiran dan kewangan kerajaan, dan kewujudannya dalam ekonomi membolehkan kuasa pasaran merangsang aktiviti ekonomi serta usaha sama sektor swasta untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti. 

Kemudahan pelabuhan Malaysia merupakan antara bidang fokus pertama," kata Najib yang juga Menteri Kewangan. Peningkatan dan pembesaran pelabuhan-pelabuhan tempatan memberi kesan positif kepada keseluruhan ekonomi, dengan industri sampingan seperti aktiviti penghantaran kargo semakin maju, mewujudkan kekayaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia, katanya.

"Pelabuhan Klang kini diperakui sebagai pelabuhan utama di Asia Tenggara. Ia merupakan pelabuhan kedua paling sibuk di rantau ini dan ke-12 paling sibuk di dunia," kata Perdana Menteri.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Westports Tan Sri G. Gnanalingam dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ruben Gnanalingam.

"Sementara itu, Najib berkata Malaysia sudah meningkatkan penguasaan pengendalian kontena serantau, daripada 11 peratus pada 1990 kepada 30 peratus.

Sambil berkata Westports merupakan contoh kejayaan cemerlang model ekonomi Malaysia, beliau berkata ia bukan sahaja mencatat pertumbuhan kapasiti tinggi yang mengagumkan, malah turut menerima pelbagai pengiktirafan atas kecekapan operasi, produktiviti, pembangunan modal insan dan tanggungjawab sosial korporat.

"Westports mempunyai seramai 4,000 pekerja, 100 peratus rakyat Malaysia, dan melaksanakan skim gaji paling rendah sebanyak RM1,500 sebulan. "Dan, tenaga kerja ini berjaya mencapai tahap produktiviti tertinggi bagi pelabuhan di dunia," kata Najib.

No comments:

Post a Comment