Friday, September 20, 2013

Terengganu Akan Struktur Semula Kawasan Industri

Kerajaan negeri merancang menstrukturkan semula kawasan industri di negeri ini bagi memastikan pembangunan tidak tertumpu di ibu negeri sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri Tengku Putera Tengku Awang berkata penstrukturan itu meliputi usaha mengenal pasti jenis pembangunan yang boleh dilakukan di daerah lain supaya ia tidak tertumpu di bandar Kuala Terengganu sahaja.

Beliau berkata kira-kira 95 peratus kawasan industri di negeri ini sudah dipohon oleh pelabur tempatan dan asing setakat ini.
"Kita akan mewujudkan kawasan yang boleh memberi suasana perniagaan yang rancak di daerah-daerah bagi melonjak ekonomi di negeri ini pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung pertama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Terengganu (DPPMT) di Kuala Terengganu, semalam.

Terengganu mempunyai 21 kawasan perindustrian, dari Kemaman hingga Besut, melibatkan kawasan seluas 4,425 hektar. "Semua kawasan ini sudah habis dan menjadi rebutan pelabur-pelabur," katanya.

Tengku Putera berkata kemudahan asas seperti Lebuh raya Pantai Timur, kemudahan pelabuhan, hasil yang banyak serta insentif daripada kerajaan pusat, menyebabkan kawasan industri di Terengganu menjadi tarikan peniaga.

Menurutnya kerajaan negeri yakin Terengganu akan menjadi negeri maju dan menjadi tumpuan pelabur sekiranya diusahakan bersungguh-sungguh. Katanya Terengganu tersohor dengan songket, tukang emas, batik yang terkenal di seluruh dunia, dan kerajaan negeri akan berusaha untuk merancak dan mengembangkan lagi perniagaan itu.

"Mungkin kita menggabungkan beberapa portfolio berkaitan untuk mencapai matlamat itu," katanya.

No comments:

Post a Comment