Malaysia menawarkan diri menjadi tuan rumah kejohanan bola baling Piala Dunia 2015, kata Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (PBBM) Pandak Ahmad.
Beliau berkata hasrat Malaysia menjadi hos kejohanan bola baling berprestij itu akan dimaklumkan pada Kongres Bola Baling Sedunia di Qatar pada 22 hingga 28 Okt ini.
"Sebelum ini, kita sudah menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2015 semasa mesyuarat Bola Baling Sedunia di Barcelona (Sepanyol) pada Februari lepas.
"Pada Kongres Bola Baling Sedunia di Qatar, kita akan maklumkan secara rasmi hasrat Malaysia itu (menjadi tuan rumah Piala Dunia 2015)," katanya.
Pandak berkata bagi meningkatkan populariti sukan bola baling di negara ini, PBBM juga berhasrat menawarkan diri sebagai tuan rumah kejohanan bola baling Piala Asia 2014.
Dalam perkembangan lain, Pandak mengekalkan jawatan sebagai Presiden PBBM buat penggal kedua berturut-turut selepas menang tanpa bertanding pada mesyuarat agung badan induk itu, Sabtu lepas.
Jawatan Timbalan Presiden PBBM pula disandang muka baharu iaitu Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Baling Melaka, Zulkifli Ishak yang turut menang tanpa bertanding.
Tiga naib presiden PBBM bagi penggal 2013-2015 pula ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Baling Perlis, Mohd Hafeez Zainuddin yang mengekalkan jawatannya itu.
Dua muka baharu sebagai Naib Presiden PBBM ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Baling Pahang, Ridzuan Jamaluddin dan Timbalan Presiden Persatuan Bola Baling Terengganu, Hasri Abdullah.
No comments:
Post a Comment