Orang ramai berpeluang menyaksikan keunikan reka bentuk dan hiasan yang melatari bot di Pertandingan Bot Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun ke-51 Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, esok (28 September).
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dijangka berangkat merasmikan pertandingan yang bertemakan ‘Dirgahayu Tuanku, Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013’, yang bermula jam 8 malam itu.
Pertandingan bakal disertai 16 jabatan termasuk tujuh pejabat daerah, masing-masing Pejabat Daerah (PD) Kuala Terengganu, PD Hulu Terengganu, PD Marang, PD Besut, PD Dungun, PD Kemaman dan PD Setiu serta jabatan kerajaan yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013, Encik Ahmad Fathil Abdul Ghani berkata Majlis Kebudayaan Kuala Nerus, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), TATI University College (TATIUC), TESDEC Sdn Bhd dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) juga akan menyertai pertandingan itu nanti.
“Pada pertandingan tersebut, setiap daerah disyaratkan untuk menonjolkan produk masing-masing dan mereka bebas untuk memilih produk pelancongan yang ingin diketengahkan berdasarkan kreativiti tersendiri dalam menata rias bot mereka.
“Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM420,000 untuk diagihkan kepada semua pasukan yang terlibat sebagai bantuan bagi menyiapkan dan menghias bot masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, pemenang tempat pertama bakal menerima wang tunai RM25,000, tempat kedua RM15,000; tempat ketiga RM10,000 dan dua hadiah saguhati, masing-masing RM7,000 setiap satu.
Katanya, sistem pemarkahan dalam pertandingan itu dikira berdasarkan kreativiti sebanyak 30 peratus, kesesuaian hiasan dengan tema (30 peratus), kekemasan (30 peratus) dan bonus sepuluh peratus.
Menurutnya, acara pada malam itu turut diserikan dengan persembahan `Tarian Selamat Datang’, diikuti dengan titah perasmian oleh Sultan Mizan serta perarakan bot dan juga persembahan kebudayaan oleh artis kesenian Terengganu.
No comments:
Post a Comment