Monday, September 23, 2013

Maznah Ulas Keputusan Lawan Shahrizat Pada Rabu

Exco Wanita Umno, Datuk Maznah Mazlan hanya akan mengulas mengenai penyertaannya di saat akhir bagi mencabar kedudukan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai Ketua Pergerakan Wanita Umno selepas tempoh bertenang berakhir Selasa ini.

Menurut sumber terdekat dengan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu, beliau akan mengeluarkan kenyataan kepada media setelah disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Umno sebagai calon.

"Datuk Maznah tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan sekarang memandangkan penyertaannya masih belum disahkan," kata sumber itu semalam.

Jawatankuasa Pemilihan Umno memperkenalkan tempoh bertenang selama 72 jam selepas proses penyerahan borang pencalonan ditutup sebelum semua penyertaan disahkan layak bertanding.

Dalam tempoh itu juga semua bakal calon boleh menarik diri daripada meneruskan hasrat masing-masing. Pada Rabu Jawatankuasa Pemilihan Umno akan mengeluarkan senarai penuh calon layak bertanding untuk diedarkan ke Perhubungan Umno negeri di seluruh negara.

Pemilihan bagi jawatan Ketua Wanita Umno menyaksikan kemunculan mengejut Maznah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Muadzam Shah untuk mencabar Shahrizat yang menyerahkan borang kira-kira 20 minit sebelum kaunter penyerahan borang ditutup pada pukul 5 petang Sabtu.

Turut akan merebut jawatan tersebut ialah Ahli Jawatankuasa Wanita Umno Kulim Bandar Bahru, Raihan Suleiman Palestin. Print this story

No comments:

Post a Comment