Mohd Noor Mat, 47, memulakan langkah pertamanya untuk Program Walk4Malaysia sejauh 600 kilometer dari Kuala Besut ke Putrajaya dengan diiringi 80 peserta lain dari Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) 9.10 pagi semalam.
Mohd Noor dan peserta lain dilepaskan dari Dataran Kuala Besut oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abdu Rahman yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said selepas melakukan senamrobik bersama lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah, Badan Bukan kerajaan (NGO) dan ketua-ketua jabatan serta kakitangan mereka.
Perjalanan yang dikendalikan Sekretariat Walk4Malaysia Terengganu menetapkan 13 hentian kepada pejalan kaki itu yang dijangka mengambil masa 13 hari dan dijangka sampai di Putrajaya 4 Oktober ini.
Mohd Noor yang merupakan kakitangan Yayasan Islam Terengganu itu kelihatan sihat dan cergas ketika memulakan perjalanannya hari ini setelah beliau sendiri menjalani latihan insentif sejak dua bulan lalu.
Turut hadir pada majlis itu termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) Roshali Taha.
Sebelum berlepas, Mohd Noor yang berasal dari Kampung Tok Raja, Jerteh dan mempunyai seorang isteri dan tujuh orang anak berumur 4 hingga 22 tahun itu sujud di atas jalan raya untuk beberapa minit bagi memohon restu bagi membolehkannya menyudahkan perjalanannya.
Untuk perjalanan hari pertama semalam, Mohd Noor akan berjalan sejauh 67.5 kilometer yang dijangka akan memakan masa selama 13 jam dan berhenti di Masjid Merang, Setiu sebelum berehat.
Beliau menyambung perjalanannya esok (hari ini) sejauh 48.4 kilometer ke Dataran Batu Buruk, Kuala Terengganu pula bermula 8 pagi.
Hasratnya berjalan kaki ke Putrajaya adalah bagi memenuhi nazarnya setelah Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi kawasan itu dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Besut 24 Julai lalu.
Sementara itu, ketika melancarkan program itu, Ahmad berkata Program Walk4Malaysia itu membuktikan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri yang mengilhamkan program itu di samping usaha yang dilakukan oleh kepimpinan Terengganu dalam merealisasikannya.
Katanya program itu juga jelas membuktikan dengan wujudnya keamanan di negara ini atas usaha kepimpinan negara, rakyat dapat melakukan aktiviti-aktiviti yang berfaedah sepanjang masa.
No comments:
Post a Comment