Monday, September 23, 2013

Piala Malaysia: Terengganu & T-Team Berputih Mata, Kelantan, Pahang Harapan Pantai TImur

Penyerang Kelantan,Indra Putra membuat percubaan gol, namun dihalang penjaga gol Pahang, Khairul Azjan pada perlawanan Piala Malaysia 2013 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu kelmarin.
Tiada apa lagi untuk Terengganu dan T-Team dan kini sekali pun kena belasah oleh Kelantan 4-0 malam kelmarin, Pahang masih tetap mampu mengukir senyuman apabila mengiringi juara bertahan itu layak ke suku akhir Piala Malaysia.

Skuad bimbingan Dollah Salleh seharusnya terhutang budi dan mengucapkan terima kasih kepada jiran mereka, Terengganu yang sudah tersingkir dari pada saingan apabila berjaya mengikat Negeri Sembilan 2-2 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pemain ATM, Hairuddin Omar (kiri) diasak pertahanan Sime Darby, Firdaus Faudzi pada aksi Kumpulan A kempen Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. 
Walaupun berkongsi lapan mata dengan Negeri Sembilan, skuad Tok Gajah layak atas ke lebihan jaringan. Di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, skuad bimbingan Bojan Hodak mendahului 1-0 pada babak pertama hasil jaringan Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-20 sekali gus menceriakan 25,000 penyokong The Reds Warriors.

 Tidak cukup dengan satu gol, Kelantan terus mengamuk di babak kedua dengan Dickson Nwa kaeme meledak hatrik pada minit ke-66, 82 dan 88.

“Semua orang boleh lihat kehebatan Nwakaeme dan saya bangga mempunyai penyerang sepertinya. Tiga jaringannya sudah cukup buktikan Nwakaeme harus menjadi pemain yang digeruni pihak lawan. Dia belum cergas sepenuhnya, tetapi persembahannya di luar jangkaan,” kata Hodak.

Aksi kumpulan B menyaksikan T-Team menewaskan Felda United, 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Ahmad Syamim Yahya menjaringkan dua gol untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-21 dan 61' manakala gol tunggal pasukan pelawat disumbangkan oleh Mohd Akmal Mohd Noor pada minit ke-80.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan harus menyalahkan diri sendiri apabila kemenangan yang berada dalam genggaman terlepas apabila Terengganu berjaya menyamakan kedudukan 2- 2 menerusi jaringan Ashaari Shamsuddin tiga minit sebelum tamat perlawanan.

Jean-Emmanuel Effa Owona meledak gol pertama Terengganu pada minit ke-17 dan disamakan Leandro Barbosa Fabio, dua minit kemudian sebelum Mohd Nazrin Nawi meletakkan tuan rumah di depan minit ke-70.

Kini juara bertahan, Kelantan mengetuai senarai lapan pasukan yang mengesahkan slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas berakhirnya saingan peringkat kumpulan, malam Sabtu lalu.

Selain Pahang, mengiringi Kelantan dari kumpulan C ialah Pahang; Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Sime Darby FC dari kumpulan A, Selangor PKNS FC dan Johor Darul Takzim (Johor DT) dari kumpulan B serta Sarawak dan Lions XII (kumpulan D).

Keputusan seri 1-1 yang dicatat oleh dua pasukan dari kumpulan A, ATM dan Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran sudah memadai untuk mereka menempah slot ke suku akhir.

ATM terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Amiridzwan Taj Tajudin seawal minit ketiga sebelum Fahrul Razi Kamaruddin menyamakan kedudukan untuk Sime Darby FC pada minit ke-35.

Satu lagi perlawanan kumpulan A menyaksikan Selangor mencatat kemenangan pertama dalam Piala Malaysia menerusi kemenangan tipis 2-1 ke atas Johor FA di Stadium Shah Alam.

Dalam saingan kumpulan B, Selangor PKNS FC mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan selepas menundukkan Johor DT dengan kemenangan 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menerusi jaringan Reeshafiq Alwi pada minit ke-17 dan Roman Chmelo pada minit ke-63.

Juara Liga Perdana, Sarawak pula muncul juara kumpulan D selepas membenam Perak, 6-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Enam gol skuad 'Ngap Sayot' dijaringkan oleh Khairi Kiman pada minit kelima (gol sendiri), Bobby Gonzales (6'), Muamer Salibasic (44', 59' dan 72') dan Zamri Morshidi pada minit ke-57 manakala gol tunggal Perak dijaringkan oleh Yong Kuong Yong pada minit ke-23.

Mengiring mereka ke suku akhir ialah pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII yang menundukkan Kedah, 3-1 di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Tiga gol pasukan pelawat kendalian V. Sundramoorthy dijaringkan oleh Hariss Harun (24'), Baihakki Khaizan (38'), Muhammad Hafiz Abu Sujad (64') manakala gol tunggal Kedah dijaringkan oleh Alen Guc pada minit ke-44. Perlawanan suku akhir akan diadakan secara timbal balik pada 26 dan 27 Sept.

No comments:

Post a Comment