Sunday, September 22, 2013

Najib Berlepas Ke Amerika Syarikat Ketuai Delegasi Malaysia Ke Perhimpunan Agung PBB


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Amerika Syarikat Sabtu bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi ke-68 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dari 25 hingga 29 Sept.

Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta delegasi Malaysia berlepas dari Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada 5.45 petang. 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan beberapa pemimpin kerajaan serta parti komponen Barisan Nasional (BN) mengucapkan selamat jalan kepada perdana menteri dan isteri.

Sewaktu di New York, perdana menteri dijangka menyampaikan kenyataan pada Mesyuarat Peringkat Tertinggi Perhimpunan Agung PBB mengenai Perlucutan Senjata Nuklear pada 26 Sept dan Kenyataan Negara Malaysia dalam Debat Umum pada 28 Sept.

Najib juga dijadual menyampaikan ucaptama pada majlis Asia Society serta mengadakan perjumpaan dengan tokoh industri utama negara Asean dan Amerika Syarikat semasa majlis makan tengah hari bersama US-Asean Business Council dan US Chamber of Commerce, selain menghos jamuan malam bersama rakyat Malaysia di New York pada 28 Sept. Sebelum itu,

Najib turut dijadual mengadakan lawatan kerja ke San Francisco bagi menghadiri mesyuarat agung tahunan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) dari 22 hingga 24 Sept.

Najib akan mempengerusikan mesyuarat ke-3 GSIAC dan merasmikan forum peringkat tertinggi mengenai teknologi hijau yang akan disertai anggota majlis antarabangsa dan kebangsaan yang merupakan pakar global dalam sains dan inovasi.

GSIAC diasaskan oleh perdana menteri pada 2010 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dengan mempertingkatkan keupayaan Malaysia dalam bidang sains dan inovasi.

Najib akan turut menghadiri mesyuarat ke-7 Panel Penasihat Antarabangsa Bioteknologi (BIO-IAP) dan melawat Silicon Valley, termasuk melakukan lawatan ke ibu pejabat Twitter dan Google.

No comments:

Post a Comment