Saturday, September 14, 2013

Parti Gerakan Sokong Pelan Pendidikan Negara


Parti Gerakan bersetuju dan memberi sokongan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dibentangkan kerajaan baru-baru ini.

Pemangku Presiden Parti Gerakan Datuk Chang Ko Youn (gambar atas) berkata pelan pembangunan pendidikan yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu diharap akan membawa kepada sistem pendidikan negara maju ke hadapan.

Beliau menyifatkan tindakan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang mempertikaikan pelan berkenaan sebagai tidak betul.

"Antaranya mereka mempertikaikan peningkatan minit untuk pelajaran Bahasa Malaysia bagi sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang ditambah dari 180 minit kepada 240 minit, ini tidak boleh diterima," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Parti Gerakan negeri Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Chang berkata pelan berkenaan dibuat untuk memperkukuhkan Bahasa Malaysia, kebolehan pelajar Cina yang sedang belajar di Sekolah-sekolah SJKC.

"Kebanyakan pelajar Cina yang masuk sekolah menengah tidak ada skill atau kemahiran dalam Bahasa Malaysia maka nanti akan timbul masalah.

"Begitu juga kalau mereka nak masuk Unviersiti Malaya, masuk USM dan sebagainya yang perlu tahu Bahasa Malaysia," katanya. Beliau berkata pelan itu memang bagus tetapi memerlukan syarat bahawa sistem ini tidak menjejaskan pengajaran bahasa Cina di sekolah.

Dong Zong, katanya, sepatutnya bimbangkan Bahasa Inggeris kerana bahasa itu yang mengancam Bahasa Cina dan bukannya Bahasa Malaysia.

Chang berkata beliau memahami kerajaan tidak ada niat untuk memusnah atau menjejaskan bahasa Cina terutama berikutan ekonomi China yang sedang berkembang yang kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia.

"Pada dasarnya, 'blue print' pendidikan memang satu konsep yang baik dan bagus untuk membantu pembangunan pendidikan negara kita," katanya.

No comments:

Post a Comment