Saturday, September 14, 2013

Media Perlu Main Peranan Untuk Pengukuhan Negara Bangsa - Najib


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu peranan yang dimainkan media membawa kepada pengukuhan sebuah negara bangsa. Beliau berkata peranan media, khususnya Utusan Melayu, penting dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat tentang segala dasar, agenda dan prakarsa yang dilaksanakan untuk masyarakat negara ini.

"Kini, sudah 75 tahun Utusan Melayu melaksanakan visi pengasas-pengasasnya, memegang amanah dalam membela nasib dan bangsa Melayu dan Malaysia melalui pelbagai naskhah terbitannya.

"Peranannya diperakui dalam membuka minda rakyat kepada maklumat mutakhir, baik mengenai politik, ekonomi, pentadbiran, kerajaan, jenayah, hiburan, sukan dan sebagainya," katanya semasa merasmikan bangunan baharu ibu pejabat Utusan Melayu (M) Bhd diKuala Lumpur, semalam.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, menteri-menteri Kabinet dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

Najib berkata syarikat akhbar Utusan Melayu yang ditubuhkan atas keringat, air mata dan darah orang Melayu wajar dipertahankan, dan "oleh itu, jangan dipersia-siakan pengorbanan mereka terhadap titik peluh pejuang terdahulu."

"Marilah kita terus beristiqamah memperkasa dan memartabatkan Utusan Melayu," katanya, dan menambah beliau akan terus membantu syarikat akhbar itu untuk terus maju.

Perdana menteri berkata selari dengan dunia yang berubah pantas, Utusan Melayu perlu menguasai media baharu serta berusaha menentukan ia sentiasa menerajui perubahan dalam setiap segmen perniagaan yang diceburinya.

Pada majlis itu juga, Najib bersetuju untuk menukar nama Jalan Enam di Jalan Chan Sow Lin tempat tersergamnya bangunan baharu syarikat itu kepada Jalan Utusan. Beliau berkata bangunan baharu itu akan memperlihatkan Utusan Melayu bakal melangkah lebih maju melalui penghasilan karya yang berkualiti kepada masyarakat.

"Para pemegang saham, pihak pengurusan kanan, para pengarang dan wartawan serta semua petugasnya perlu berusaha lebih gigih memastikan syarikat ini terus diuruskan dengan cara yang dapat menyahut cabaran perniagaan pada era ini," katanya.

Ibu pejabat baharu Utusan Melayu (M) Bhd dibina bagi menggantikan ibu pejabat Utusan yang beroperasi di Jalan Lima off Jalan Chan Sow Lin selama 55 tahun sejak berpindah pada tahun 1958 dari Cecil Street, Singapura.

Bangunan setinggi tujuh tingkat dan mempunyai tiga blok iaitu blok pejabat, lobi utama dan ruang kereta bertingkat mengekalkan ciri-ciri kemelayuan sebagai melambangkan jati diri syarikat itu.

No comments:

Post a Comment