Sunday, September 15, 2013

Harun Taib Gesa PAS Kaji Semula Hubungan Dengan PKR


PAS digesa mengkaji semula kerjasama politiknya dengan Parti Keadilan rakyat (PKR) bagi memastikan hala tuju parti itu tidak tersasar daripada landasan sebenar.

Gesaan itu dibuat menerusi resolusi yang dicapai pada Perhimpunan Ulama Se-Malaysia anjuran Dewan Ulama PAS Pusat semalam.

"Multaqa (perhimpunan) Ulamak Se-Malaysia mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi(kerjasama politik) bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat.

"Perkara ini bagi tujuan menjaga maslahah (faedah) dan membendung serta menghalangmafsadah (kejahatan) Syar'iyyah," demikian menurut resolusi berkenaan.

Perhimpunan yang diadakan di Kompleks PAS Kedah itu dirasmikan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib.

Isu kerjasama politik antara PAS dan sekutu mereka dalam pakatan pembangkang pernah menjadi polemik dalam parti itu tahun lalu apabila bekas Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa mencetuskan kontroversi dengan mengeluarkan kenyataan yang mendakwa PAS sudah lari daripada matlamat asal perjuangannya.

Malah Nasharuddin yang ketika itu juga masih menjadi ahli Majlis Syura Ulama turut menggesa agar PAS mengkaji semula kerjasama mereka dalam pakatan pembangkang.

Bagaimanapun pada Muktamar PAS ke-58 di Kota Baharu November tahun lalu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menegaskan Majlis Syura mengambil ketetapan bahawa PAS masih lagi parti yang sama sejak ia ditubuhkan.

Penegasan itu sekaligus mengukuhkan pendirian PAS untuk meneruskan kerjasama mereka dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP.

Sebaliknya semalam,  Harun sendiri mencadangkan Pas supaya mengkaji semula kerjasama politik (tahaluf siasi) yang diadakan dengan PKR.

"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan Pas dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah semalam.

Sebelum ini, umum mengetahui Pas telah menjalinkan kerjasama dengan DAP dan PKR secara rasminya pada 1 April 2008 di mana ia merupakan lonjakan baru bagi politik tanah air. Ketiga-tiga parti ini telah dinamakan satu parti perikatan yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR).

Selain itu, Harun dalam kertas ucapatamanya juga berkata, bagi melaksanakan kajian ini jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan erti reformasi, PKR.

"Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi Pas kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberi perhatian," katanya.

Beliau yang dihubungi Sinar Harian Online lewat petang semalam  berkata, perkara itu telah dikemukan setelah berbincang dan mendapat persetujuan ahli Pas dan Dewan Ulama.

"Saya telah berbincang mengenai perkara ini dan telah mendapat maklumabalas semua," katanya.

pabila ditanya adakah beliau bersedia menghadapi tindak balas daripada rakan perikatan pembangkang itu, Harun berkata: "saya hanya menyuarakan untuk mengadakan kajian semula, tak mungkin mereka nak kecil hati pula,".

"Saya juga terbuka menerima maklum balas mereka," tambahnya.

No comments:

Post a Comment