Sunday, September 15, 2013

Terengganu Bebas Jenayah Berat - Ahmad Zahid

Terengganu setakat ini disenaraikan bebas daripada kegiatan jenayah berat, pertubuhan haram dan sindiket, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata daripada laporan Ops Cantas Polis Terengganu, tiada rekod kegiatan perjudian haram, sindiket pelacuran, kegiatan 'Along' mahupun pertubuhan haram yang dicatatkan.

"Empat aspek itu penting bagi menentukan Terengganu bebas daripada jenayah indeks. Ada berlaku (jenayah), tetapi ia kes terasing dan bukan melibatkan sindiket," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan yang diiringi Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, semalam.

Bagaimanapun beliau meminta semua pegawai dan anggota polis di negeri ini bersiap siaga setiap waktu bagi membendung kegiatan jenayah ini.

"Ops Cantas Khas di Terenganu tidaklah terlalu berat berbanding beberapa buah negeri lain kerana sini bebas daripada kegiatan jenayah berat," katanya yang berpuas hati dengan pelaksanaan polis Terengganu dalam membendung kegiatan jenayah menerusi Ops Cantas Khas.

Ahmad Zahid berkata sebanyak 15 operasi dilancarkan di Terengganu dan seramai 2,880 individu telah diperiksa polis.

Katanya daripada jumlah itu, pihak polis melakukan 32 tangkapan melibatkan 31 Melayu dan seorang Cina serta merampas hanya sebilah pedang dan pisau lipat.

"Daripada 15 operasi itu, seramai 2,611 Melayu, 170 Cina, 79 India dan 20 lain-lain individu diperiksa kerana disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bakal memiliki ibu pejabat baharu bagi menggantikan bangunan sedia ada yang sudah lama.

"Banyak IPD dalam keadaan daif dan kita (kementerian) dalam usaha menaik taraf IPD termasuk di Terengganu.

Langkah ini bagi memodenkan IPK dan juga IPD, bukan sahaja lengkap dari segi kemudahan asas malah aset peralatan dan perkakasan yang mencukupi. "IPK Terengganu dan IPD akan memiliki bangunan baharu selepas majlis pertukaran tanah dilakukan," katanya.

No comments:

Post a Comment