Pas menafikan wujud gerakan dalam parti itu untuk menyingkirkan timbalan presiden, Mohamad Sabu apabila ada cadangan mahukan jawatan tertinggi dipilih dari kalangan ulama.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tanggapan itu hanya sekadar pandangan, dan bertegas tiada usaha berkenaan berlaku.
“Tidak ada gerakan seperti dimaksudkan. Perkara seperti ini bukan baru dalam parti, sebelum ini pun ada pertandingan antara ulama dan bukan ulama untuk jawatan tertinggi,” katanya pada sidang media, selepas perasmian penutup Multaqa Ulama Semalaysia, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, semalam.
Mengulas ketetapan Dewan Ulama Pas Pusat yang mengeluarkan resolusi, antaranya mahu jawatan presiden dan timbalan diisi golongan ulama, termasuk jawatan naib presiden juga wajar dipertimbang untuk golongan itu, Abdul Hadi berkata, perwakilan yang akan menentukannya kelak.
“Dewan Ulamak adalah satu badan dalam Pas, namun keputusan kelak terserah kepada perwakilan dari seluruh negara,” katanya.
Ditanya sama ada beliau menyokong saranan agar kedua-dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan, Abdul Hadi tetap menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan.
“Saya serah pada ahli untuk buat pertimbangan. Saya sendiri tidak tahu sama ada dicalonkan kelak, jika ya, saya akan tunaikan amanah. Kita terikat pada perlembagaan dan jawatan ini terbuka untuk dipertandingkan,” katanya.
Mengulas cadangan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib yang mahu tahaaluf siyaasi (muafakat politik) bersama PKR dan DAP dikaji semula, Abdul Hadi menyifatkan ia bukan perkara luar biasa.
“Ini adat dalam politik, kita mestilah kaji setiap perjalanan.
Kita hanya mahu kaji untuk kuatkan lagi muafakat, kita akan terus bersama dalam PR dan tiada kemungkinan untuk keluar daripada pakatan itu,” katanya
Menurutnya, Pas akan tetap bersama PKR dan DAP membentuk pakatan yang dipersetujui bersama.
No comments:
Post a Comment