Monday, September 16, 2013

TMT 2013 Saji Pelbagai Program Menarik

Pelbagai acara menarik bakal berlangsung sehingga Disember depan yang dijangka menarik kehadiran pelancong tempatan dan luar negara ke Terengganu sempena sambutan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

Antaranya Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu bermula pada 14 hingga 17 September ini di Taman Tamadun Islam Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee, berkata antara lain menyaksikan pelbagai pertunjukan kesenian Islam, pengunjung berpeluang melawat taman tema bercirikan tamadun Islam pertama di dunia itu yang terletak di Pulau Wan Man yang mempunyai 21 replika unik.

Antaranya ialah Masjid Abu Nasr Pasra dari Afghanistan, Masjid An-Nabawi dan Masjidil Haram (Arab Saudi), Masjid Sultan Omar Syarif (Brunei), Masjid Xian (China), Taj Mahal (India), Masjid Kuddus Mina (Indonesia), Masjid Sheikh Lutfalla (Iran), Masjid Besar Samara (Iraq) dan Masjid Mohamed Ali (Mesir). 

Bagi pencinta muzik tradisional, boleh menghayati alunan gamelan mengasyikkan pada Festival Gamelan Sedunia yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 September.

Festival Tanglung selama tiga hari pada 27 hingga 27 September di Pulau Warisan, Kuala Terengganu. yang menumpukan kepada festival pertengahan musim luruh dalam kalangan komuniti Cina yang jatuh pada hari ke-15 dalam bulan kelapan kalendar Cina.

Sambutan TMT 2013 pada September berakhir dengan acara gilang gemilang Larian Antarabangsa Jambatan Sultan Mahmud pada 28 September ini di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.

Larian tahunan yang berlangsung untuk kali ke 13 ini sememangnya menjadi tarikan utama bagi kempen TMT 2013.

Aktiviti ini ialah maraton penuh dengan jarak 42 kilometer (km), separuh maraton (21 km dan 10 km) serta larian keluarga. Ia juga menawarkan kategori larian untuk peserta berkerusi roda.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.marathon.terengganu.my.

No comments:

Post a Comment