Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan yang bakal dikenakan kepada pemain skuad negeri itu yang ditahan kerana didakwa berkhalwat di hotel di bandar ini, Selasa lalu.
Timbalan Presiden PBNP, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung kes itu, dan persatuan akan menyiasat dengan teliti sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Siasatan terperinci termasuk mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat perlu diadakan kerana kita tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru.
“Sebarang tindakan dan bentuk hukuman akan diputuskan berdasarkan pandangan ahli mesyuarat,” katanya pada sidang media Penyelarasan Operasi Roboh Bangunan di Setinggan Tok Keramat, di Kuantan, semalam.
Awal pagi Selasa lalu, dua pemain bola sepak Pahang masing-masing berusia 27 tahun dicekup anggota penguat kuasa JAIP kerana didakwa berkhalwat bersama pasangan masing-masing.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBNP, Fuzzeimi Ibrahim, berkata persatuan tidak mahu mengganggu siasatan yang dilakukan JAIP.
No comments:
Post a Comment