Sunday, September 15, 2013

MARA Bakal Peruntuk Separuh Dana Untuk Naik Taraf Giat Mara

Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal menggunakan separuh daripada peruntukkan RM1 bilion oleh kerajaan untuk agensi itu bagi menaik taraf alat kelengkapan pembelajaran di pusat-pusat Giat Mara. 

Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa berkata MARA berhasrat mengubah persepsi rakyat terhadap pusat Giat Mara bahawa pusat ini sekadar pusat buangan untuk penganggur atau belia-belia yang sudah tiada masa depan.

"Kami mahu rakyat kembali kepada persepsi bahawa Giat Mara ini adalah peluang kedua bagi belia yang kurang bernasib baik dalam bidang akademik," katanya kepada pemberita selepas pelancaran agenda Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Shah Alam, semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Annuar berkata MARA akan memastikan alat-alat pembelajaran di Giat Mara merupakan peralatan terkini bagi mempersiap belia untuk diserapkan dalam industri dan dijuruskan ke arah menjadi usahawan yang berjaya, berasaskan kepada permintaan semasa.

"Baki dari dana ini pula akan kita tumpukan untuk meningkatkan peluang pelajar-pelajar melayu dan Bumiputera untuk memasuki bidang strategik dan pasca ijazah, iaitu meramaikan lagi lulusan-lulusan doktor falsafah dan sarjana dalam kursus-kursus tertentu.

"Contohnya bidang penerbangan, bioteknologi, sains nuklear, bidang-bidang pengurusan, marin dan bidang berkaitan minyak dan gas, yang kita klasifikasikan sebagai bidang-bidang strategik yang diperlukan oleh negara," katanya.

Mengenai agenda pemerkasaan Bumiputera itu, Anuar berpendapat ia dibuat pada masa yang tepat dan merupakan satu cetusan semangat. "Namun, yang penting ialah agensi-agensi kerajaan seperti MARA harus membaca apa yang tersirat daripada pengumuman Perdana Menteri tadi.

"Kita harus bergerak lebih ke hadapan daripada aspirasi kerajaan. Dengan kapasiti RM1 bilion, kita mungkin akan mampu menjana sehingga RM2 bilion," katanya.

No comments:

Post a Comment