Tuesday, September 17, 2013

Piala Malaysia - Terengganu Elak Buat Silap Dalam Padang

Terengganu perlu fokus dan bermain secara konsisten sepanjang 90 minit pada aksi Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2013 menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini.

Jurulatih Terengganu, E. Elavarasan berkata, beraksi di laman sendiri bukan satu kelebihan kerana beliau pasti Kelantan akan mempamerkan aksi terbaik untuk meraih kemenangan.

“Beraksi di tempat sendiri bukan bermakna ia memberi laluan mudah buat kami kerana pasukan lawan juga mempunyai hasrat yang sama untuk menang, sekali gus membuka peluang lebih cerah mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelantan bertekad untuk menewaskan Terengganu pada aksi kelima Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2013 malam ini.

Kemenangan sangat penting dalam usaha mencerahkan peluang untuk menempatkan diri ke kelompok lapan pasukan terbaik.

Bagaimanapun, pengendali skuad The Red Warriors, Bojan Hodak yang dihubungi Kosmo! berkata, beliau menyedari bahawa laluan yang terpaksa ditempuh pasukan itu bukan mudah kerana Terengganu juga mahukan kemenangan untuk membuka semula peluang selain memastikan maruah mereka tidak tercalar di laman sendiri.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment