Saturday, September 28, 2013

Rakyat Malaysia Digalakkan Sertai Hibah Amanah, Pengisytiharan Amanah PNB

Dua perkhidmatan disediakan bagi memudahkan urusan tuntutan harta pusaka berbentuk pelaburan dalam ASNB, jika pemegang unit meninggal dunia.

Ia juga bertujuan merancakkan ekonomi umat Islam di negara ini memandangkan masih ramai yang tidak menyedari pentingnya hibah sehinggakan timbul masalah harta orang Islam tidak dituntut yang kini mencecah RM66.6 bilion.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata jumlah aset yang tidak dituntut itu mampu merancakkan sektor ekonomi, khususnya umat Islam, andai ia dapat dicairkan demi kepentingan generasi akan datang.

"PNB turut menggesa semua pemegang unit saham beragama Islam menyertai Hibah Amanah supaya aset umat Islam mampu dijana dengan lebih baik dan terurus setelah kematian pemegang unit amanah berkenaan. "Ia merupakan perkhidmatan baik yang kami tawarkan, kerana selain menjual unit saham amanah, PNB turut menawarkan penjagaan harta agar ia diwarisi oleh orang yang dipercayai oleh pemegang unit itu sahaja," katanya.

Ahmad Sarji berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kuiz Pelaburan PNB 1 Malaysia kategori Institut Pendidikan Guru (IPG) baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Rektor IPG Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Sulaiman Wak.

Ahmad Sarji berkata PNB kini giat memberi penerangan kepada rakyat Malaysia mengenai dua tawaran perkhidmatan itu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Mac lepas, secara berterusan di seluruh negara.

"Seminar mengenai perkhidmatan ini baru sahaja berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah dan akan diteruskan di Kuching, Sarawak minggu depan, dan ke seluruh negara, secara konsisten. "Kita tidak mahu ada lagi banyak aset umat Islam yang tidak boleh dicairkan akibat kurangnya kesedaran pemegang unit mengenai Hibah Amanah ini," katanya.

Hibah merupakan pemberian atas dasar kasih sayang oleh pemegang unit ASNB kepada pewarisnya sewaktu hayatnya secara sukarela yang ditawarkan kepada pelabur Islam manakala Pengisytiharan Amanah kepada pelabur bukan Islam bagi semua sembilan produk PNB.

Pada 10 Sept lepas, media melaporkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sedang mengusahakan Projek Al Mafqud untuk mencari kaedah mencairkan semula wang atau aset-aset harta yang tidak dituntut, berjumlah RM66.6 bilion, untuk dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ketua Pengarah JKSM, Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dipetik berkata jumlah harta tak alih seperti rumah dan tanah mencecah RM60 bilion manakala jumlah harta alih seperti wang dalam akaun simpanan pula berjumlah RM6.6 bilion.

No comments:

Post a Comment