Risda Terengganu memperuntukkan Bantuan Khas Keusahawanan sebanyak RM60,000 kepada 60 usahawan baru dalam pelbagai bidang di Terengganu, sepanjang tahun ini.
Pengarah agensi itu, Zakaria Mat Zin, berkata, bantuan sebanyak RM1,000 untuk setiap seorang usahawan baru itu adalah inisiatif Risda bagi membantu golongan itu memajukan perusahaan masing-masing yang dimulakan secara kecil-kecilan.
Katanya, lebih membanggakan, kira-kira 30 peratus penerima bantuan itu adalah generasi kedua Risda dan golongan muda yang memilih bidang keusahawanan sebagai cabang pendapatan mereka berbanding kerja makan gaji.
“Setakat ini seramai 60 peserta sudah mendapat manfaat daripada program ini dan kebanyakan mereka terbabit dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seperti perniagaan pastri, kraf tangan, makanan, jahitan dan pakaian.
“Majoriti mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah, dan dengan bantuan ini mereka dapat memperbesarkan perniagaan serta menambah peralatan yang diperlukan seperti mesin jahit, mesin memproses makanan dan menyewa kiosk untuk menjalankan perniagaan,” katanya.
Zakaria berkata, daripada pemantauan yang dilakukan, usahawan yang menerima bantuan khas itu berjaya memajukan perniagaan mereka, sekali gus menjana pendapatan lebih tinggi.
Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, pekebun kecil yang layak dan mahu menyertai program Tanaman Semula Getah (TSG) boleh membuat permohonan dengan datang ke pejabat Risda terdekat bagi memudahkan urusan pendaftaran.
“Lazimnya kita berdepan sedikit masalah apabila pekebun kecil lewat mendaftar sedangkan kita perlu melalui pelbagai proses termasuk lawatan ke tapak kebun sebelum meluluskan permohonan mereka.
“Jadi, kita harap mereka dapat membuat permohonan awal dengan mengunjungi 16 pejabat kita di seluruh negeri atau datang ke pejabat Risda daerah untuk mendaftar
“Bagi program TSG, pekebun kecil akan diberikan bantuan wang tunai bernilai RM9,230 bagi setiap sehektar tanaman selain menerima bantuan benih baru dan baja bagi menyuburkan tanaman,” katanya.
Teganukita
No comments:
Post a Comment