Seorang ibu yang sarat mengandung tujuh bulan adalah antara tiga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 23 Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah di Dungun, kelmarin.
Mangsa yang terbunuh penumpang kereta, Wan Ayuzita Wan Yosof, 23, dan anak lelakinya Mohd Amizi yang berusia setahun setengah dan penunggang motosikal Mohd Nor Samat, 57.
Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, dalam kejadian 6.40 petang itu kereta jenis Proton Iswara yang dipandu suami mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melalui selekoh di kawasan berkenaan sebelum berpusing-pusing lalu merempuh motosikal yang ditunggangi Mohd Nor yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat rempuhan itu ketiga-tiga mangsa meninggal di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala manakala penumpang wanita itu tersepit di tempat duduk sebelah pemandu.
"Rempuhan itu juga menyebabkan penunggang motosikal yang berasal dari Felda Kerteh 4, Dungun tercampak sejauh 10 meter," katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Dungun malam semalam.
Menurutnya, suami mangsa Azmi Mohamad, 41, bersama dua lagi anak saudaranya Mohd Arif Basri Adnan, 11, dan Ahmad Amizan Akmal Ibrahim, 14, hanya cedera ringan.
Katanya, semasa kejadian Wan Ayuzita bersama keluarganya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Lubuk Lesung, Kemaman.
Sementara itu, anak Mohd Nor, Mohammad Keeri, 19, berkata, ketika kejadian dia bersama ayahnya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menebas di kebun mereka di Sungai Apu pada pukul 6 petang.
Katanya, mereka menaiki motosikal berasingan dan semasa tiba di selekoh dia ternampak sebuah kereta meluru laju menghala ke arah mereka.
"Saya lihat kereta itu langgar ayah namun saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut," katanya.
No comments:
Post a Comment