Friday, September 13, 2013

Sektor Awam Disaran Hasil Inovasi Yang Dapat Jimat Perbelanjaan Kerajaan - KSN

Kementerian dan agensi kerajaan disaran menghasilkan inovasi yang berimpak tinggi yang dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata terdapat sesetengah inovasi dan pendekatan yang kreatif yang dihasilkan secara dalaman tanpa sebarang kos telah berjaya memudahkan urusan di samping menyelesaikan sesuatu masalah.

"Kita mengalu-alukan inovasi seperti ini yang dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan terutama ketika kita semua perlu menjimatkan belanjawan kementerian atau agensi dan elak perbelanjaan secara keterlaluan," katanya.

Beliau berkata semangat inovasi yang tinggi dan penyediaan pelbagai program yang kreatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan perlu dijadikan amalan budaya setiap penjawat awam.

"Kita juga harus sentiasa ingat bahawa inovasi boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya ketika berucap merasmikan majlis Anugerah Inovasi Sektor Awam 2013 di Arena Square semalam.

Beliau berkata kedudukan Malaysia dalam laporan penarafan global seperti Laporan Daya Saing Global dan Indeks Inovasi Global perlu dijadikan pencetus semangat untuk sektor awam supaya lebih berusaha dalam melonjakkan imej perkhidmatan awam di mata dunia.

Dalam majlis tersebut, Kementerian Kesihatan dan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) memenangi Anugerah Inovasi Sektor Awam 2013 bagi kategori pengurusan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kementerian berkenaan dan ARSM bekerjasama membangunkan Sistem Pengurusan Wabak Denggi. Selain trofi dan sijil, kedua-dua penerima itu menerima cek RM300,000.

Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak meraih anugerah dan hadiah yang sama bagi kategori Pentadbiran Daerah dan Tanah.

Pencapaian itu dinilai berdasarkan inovasi, pengurusan organisasi dan pelanggan, serta pertadbiran tanah dan daerah manakala Majlis Perbandaran Kuantan memenangi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

No comments:

Post a Comment