Monday, September 30, 2013

Sultan Terengganu Puji ECERDC, Kerajaan Negeri Basmi Kemiskinan


Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin memuji usaha kerajaan negeri Terengganu dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk mengatasi kemiskinan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) khususnya di negeri ini.

Baginda bertitah, pihak ECERDC melaksanakan banyak projek di Terengganu untuk menjadikan ECER sebuah wilayah maju menjelang 2020.

"Langkah pihak ECERDC memperkenalkan projek Agropolitan Besut-Setiu di negeri ini wajar dipuji kerana ia bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup para peserta dengan cara memberikan mereka pekerjaan di dalam bidang berkaitan pertanian.

"Beta berasa amat sukacita dengan penumpuan yang diberikan terhadap sektor pertanian di bawah projek ini, di mana kegiatan biri-biri Dorper telah dipilih sebagai aktiviti ekonomi utama," titah baginda ketika merasmikan Projek Agropolitan Besut-Setiu (BSA) di Setiu, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John; ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua jabatan serta masyarakat setempat.

Sementara itu, Ahmad berkata, Projek BSA yang dibangunkan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Panchur Bederu, di sini akan memasuki fasa kedua dengan pembinaan 50 unit rumah untuk 50 pesertanya.

Katanya, projek pembinaan rumah untuk fasa kedua itu akan bermula tahun depan yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

"Senarai peserta juga akan dipilih berdasarkan senarai peserta e-Kasih dari Pejabat Daerah Setiu dan Pejabat Daerah Besut," katanya.

Sehingga kini, untuk fasa pertama projek itu, seramai 100 peserta memulakan kerja Jun lalu dengan pendapatan RM1,200 sebulan.

ECERDC membina 52 unit pengeluaran ternakan (APU) dan memperuntukkan kawasan seluas 104 hektar untuk penanaman rumput napier sebagai bahan makanan untuk sejumlah 4,680 biri-biri di projek BSA itu.

No comments:

Post a Comment