Monday, September 30, 2013

JKR - Bumbung Runtuh: Kontraktor, Pembekal Bahan Binaan Harus Bertanggungjawab


Pihak kontraktor dan pembekal bahan binaan harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembinaan semula bumbung dan siling Masjid Kampung Tebauk, Bukit Tunggal di Kuala Terengganu yang runtuh. 

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu Datuk Shafii Mohamad berkata bagaimanapun pembinaan semula itu hanya boleh dilakukan selepas pihak forensik JKR menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kejadian.

Katanya setiap masjid yang dibina biasanya mempunyai jaminan daripada pembekal untuk tempoh 10 tahun. "Kita telah memanjangkan kes itu kepada JKR pusat di Kuala Lumpur untuk menghantar tenaga pakar bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden berkenaan.

"Kejadian runtuhan itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerja pembinaan dan pemasangan masjid bernilai RM5.7 juta itu mendapat kelulusan JKR dan mengikut prosedur ditetapkan," katanya pada sidang media khas mengenai runtuhan itu di Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, hasil siasatan awal pihaknya tidak menolak kemungkinan runtuhan itu mungkin disebabkan bahan yang digunakan atau cara pemasangan yang tidak betul.

"Dari segi pelaksanaan projek yang dibuat dari Januari 2010 hingga 24 Okt 2011 itu, semua mengikut prosedur malahan reka bentuk masjid dan pembekal juga telah mendapat kelulusan.

"Anggaran kos pembaikan bumbung dan siling memakan belanja sekitar RM200,000 hingga RM250,000. Pihak kontraktor dan pembekal bertanggungjawab sepenuhnya membaiki semula kerosakan ini," katanya. 

Shafii berkata pihaknya akan menyemak semua projek yang menggunakan material daripada pembekal itu dan pembekal berkenaan akan disenarai hitam jika didapati tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam tender kerajaan.

No comments:

Post a Comment