Saturday, September 28, 2013

Sultan Terengganu Seru AJK Berdikari Tadbir Masjid

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin semalam mengingatkan pegawai dan jawatankuasa masjid agar menjadikan masjid sebagai sebuah institusi yang mampu menjana kesan positif kepada masyarakat setempat dalam setiap aspek kehidupan.

Baginda bertitah, jawatankuasa masjid perlu berdikari dan tidak hanya bergantung kepada bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) atau kerajaan semata-mata dalam urusan pentadbiran masjid.

Titah baginda, ini kerana pegawai dan jawatankuasa masjid telah diberi kepercayaan oleh Maidam untuk mengurus tadbir masjid dalam segenap aspek mengikut landasan dan garis panduan yang ditetapkan. 

"Gunakanlah wang sumbangan orang ramai yang dihulurkan melalui tabung-tabung masjid untuk kegunaan masjid dan janganlah ia hanya disimpan sehingga terkumpul menjadi ribuan atau ratusan ringgit tanpa dibelanjakan," titah baginda ketika merasmikan Masjid Kampung Sungai Udang di Dungun, semalam.

Yang turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dan Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Datuk Mohamad Rozali Salleh. Baginda bertitah, masjid merupakan lambang kesatuan dan simbol perpaduan umat Islam dan kesatuan hakiki pasti dapat mengatasi perbezaan bangsa, warna kulit dan ideologi politik.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan agar masjid dijadikan sebagai institusi yang bebas daripada pengaruh politik kepartian yang boleh membawa kepada sikap berpuak-puak di kalangan masyarakat Islam.

"Beta berharap supaya unsur atau simbol yang melambangkan politik kepartian hendaklah dibersihkan daripada masjid dan kawasan sekitarnya," titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Mizan menamakan Masjid Sungai Udang yang dibina pada 2008 dan siap pada 2010 dengan peruntukan hampir RM4 juta itu, sebagai Masjid As-Saalikin, Sungai Udang, Dungun.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Mohamad Rozali ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata JHEAT tidak menerima laporan mengenai perkahwinan campur tanpa tukar agama Islam di negeri ini.

"Saya belum terima sebarang laporan mengenai kes berkenaan di negeri ini. Bagaimanapun jika adalah berlaku, kita akan ambil tindakan yang sepatutnya," katanya.

 Beliau ditanya laporan akhbar hari ini mengenai perkahwinan campur di antara orang Islam dengan pasangan bukan Islam yang tidak menukar agama asal mereka kepada Islam.

No comments:

Post a Comment