Saturday, September 28, 2013

Bunuh: Pemilik Kedai Perabot Mati Ditikam

Seorang pemilik kedai perabot ditemui mati dibunuh dengan beberapa kesan tikaman di bahagian belakang badannya dalam kejadian di Kampung Padang Nenas di Kuala Terengganu semalam.

Dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, mangsa Hadi Khan Yusof, 55, ditemui mati oleh seorang pemandu lori yang datang untuk menghantar perabot di kedai berkenaan.

Jiran mangsa, Ahmad Syafandi Mohd Yusof, 34, berkata pemandu lori berkenaan memanggil mangsa namun tiada sahutan sebelum masuk ke dalam kedai dan melihat mangsa dalam keadaan terlentang di bahagian belakang kedai.


Katanya panik dengan kejadian itu, pemandu berkenaan memanggilnya dan mereka melihat mangsa berlumuran darah dan terdapat kesan seperti ditetak sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

"Sebelum itu pemandu berkenaan naik ke tingkat atas kedai namun bilik mangsa berkunci sebelum turun kembali dan curiga melihat kedai mangsa bersepah sebelum menemui mayat mangsa di bawah tilam di belakang kedai.

"Kami mengangkat tilam berkenaan dan melihat kepala serta muka mangsa dipenuhi darah. Semasa kejadian berlaku, saya tidak mendengar sebarang bunyi pelik atau kecoh dari kedai mangsa sehinggalah pemandu itu beritahu saya," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Asisten Komisioner K. Manoharan berkata mangsa dipercayai ditikam dan polis kini sedang memburu beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes pembunuhan itu.

"Mangsa merupakan warga Pakistan dan mendapat kerakyatan Malaysia setelah lebih 20 tahun menetap di sini, kita juga sedang berusaha menghubungi anggota keluarga mangsa di Pakistan.

"Kita sedang menyiasat motif sebenar kejadian dan kita juga masih menjalankan siasatan lanjut sama ada terdapat barang mangsa yang hilang atau sebaliknya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat dan pihak polis juga sedang mengesan senjata yang digunakan dalam insiden itu.

No comments:

Post a Comment