Monday, September 23, 2013

Terengganu Lancar Kempen "Jom Kita Tanam Sayur" Bulan Depan

Kerajaan negeri akan melancarkan kempen "Jom Kita Tanam Sayur" dalam usaha manjamin kesihatan serta mengatasi masalah kekurangan bekalan sayur-sayuran di negeri ini bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri Nawi Mohamad berkata di bawah program itu setiap buah rumah akan menanam jenis tanaman yang hendak dimakan.

"Kita akan adakan kempen supaya setiap buah rumah menanam apa yang dia hendak makan dan dia makan apa yang dia tanam," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pembukaan kedai perabot mesra alam di Kuala Terengganu,  semalam.

Beliau berkata secara tidak langsung orang ramai tidak perlu lagi membeli sayur-sayuran yang mereka hendak makan dan boleh memetiknya di sekeliling rumah.

"Yang pasti tanaman ini tidak terlibat dengan bahan kimia dan selamat di makan," katanya.

Nawi berkata sebagai projek perintis, Kampung Durian Telur di Besut telah dipilih untuk melaksanakan projek berkenaan dan akan diikuti kampung-kampung lain selepas kempen itu bermula nanti.

Beliau berkata walaupun ditanam secara kecil-kecilan, namun secara tidak langsung akan dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sayur-sayuran daripada luar Terengganu.

Nawi berkata Terengganu sekarang terpaksa mengimport 2,000 metrik tan sayur sehari atau 60,000 tan metrik sebulan bernilai hampir RM3 juta bagi menampung kekurangan bekalan.

Beliau berkata sebagai insentif, kerajaan akan menyediakan hadiah berbentuk lawatan ke sebuah kampung di Thailand untuk melihat program tanaman sayur di keliling rumah, tahun depan.

No comments:

Post a Comment