Monday, September 16, 2013
Terengganu Yakin Mampu Mara Ke Suku Akhir
Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yakin skuad Peteh mampu melangkah ke suku akhir Piala Malaysia sekiranya berjaya menjinakkan juara bertahan, Kelantan dalam aksi Kumpulan C di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.
Mantan Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh, berkata berdasarkan prestasi semasa skuad bimbingan E Elavarasan dalam dua perlawanan persahabatan, tidak mustahil pasukan itu dapat menumbangkan The Red Warriors (TRW) di laman sendiri.
Katanya, pada perlawanan persahabatan di gelanggang lawan itu, Terengganu berjaya mencatatkan dua kemenangan mengatasi Perak 2-1 diikuti Selangor 3-2 sekali gus menyuntik semangat pemain menjelang perlawanan yang dianggap hidup mati pasukan dalam kempen Piala Malaysia.
"Jika dilihat prestasi yang dipamerkan pemain, saya yakin yang pasukan ini mampu melangkah ke suku akhir. Bagaimanapun, mereka mesti berjuang bermati-matian apabila turun melayan Kelantan.
"Jika Terengganu dapat menumbangkan skuad Bojan Hodak, pintu ke suku akhir akan ditentukan pada perlawanan terakhir menentang Negeri Sembilan, di Paroi, Sabtu ini," katanya selepas Kongres Luar Biasa Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif PBSNT di Wisma Seri Amar, di Kuala Terenggani, kelmarin.
Pada majlis itu, Che Mat membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan Presiden PBSNT yang disandangnya selama 15 tahun dan jawatan itu kini diterajui Presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kemaman yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid.
Ditanya masa depan Elavarasan bersama pasukan itu musim depan, Che Mat menegaskan yang beliau tidak lagi berhak menentukan kedudukan pegawai dan pemain dalam pasukan itu sebaliknya menyerahkan kepada kepimpinan baru membuat keputusan.
No comments:
Post a Comment