Sunday, September 22, 2013

Tiada Pencabar - Najib, Muhyiddin Kekal Terajui UMNO


Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO apabila diumum menang tanpa bertanding pada pemilihan UMNO semalam. 

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali mengumumkan, tiada borang pencalonan lain diserahkan selain yang dikemukakan kedua-dua pemimpin itu apabila tempoh penyerahan borang pencalonan tamat pada pukul 5 petang semalam.

Uniknya, dalam proses pendaftaran calon semalam, kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu merupakan pencadang bagi pencalonan sesama mereka.

Muhyiddin merupakan pencadang Najib bagi jawatan Presiden manakala Najib menjadi pencadang Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden. Mereka menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahankan jawatan masing-masing melalui wakil mereka sebaik pusat penyerahan borang pencalonan di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dibuka pukul 8 pagi.

Borang pencalonan Najib diserahkan oleh Setiausaha Politik beliau, Datuk Khairun Aseh manakala Muhyiddin diwakili Setiausaha Politiknya, Datuk Mohd. Nardin Awang yang menyerahkan borang pencalonan di Bilik Labuan, Tingkat 5, PWTC.

Sementara itu Najib berjanji beliau dan timbalannya akan menumpukan kepada usaha-usaha mengukuhkan parti selepas pemilihan UMNO 2013.

Kata Najib, mereka berhasrat meneruskan dasar-dasar perjuangan parti dan pentadbiran kerajaan tanpa diganggu soal pertandingan dan asakan daripada mana-mana pihak. “Ini menunjukkan sikap bertanggungjawab keseluruhan anggota parti dalam meletakkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai tonggak kekuatan parti.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua ahli UMNO di semua peringkat yang telah memberi sokongan begitu menyeluruh sehingga proses demokrasi terbuka dalam parti kita berjalan begitu baik dan terkawal,” kata Najib.

Beliau berkata demikian sebelum berlepas ke Amerika Syarikat dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Najib turut menasihatkan semua ahli UMNO supaya tidak menyalahgunakan kuasa, mengamalkan politik wang atau menyerang secara peribadi dalam kempen mendapatkan mana-mana jawatan dalam pemilihan pada tahun ini.

“Nasihat saya bukan untuk jawatan Naib Presiden sahaja tetapi untuk semua jawatan, maknanya kita mesti jaga ketertiban, kesopanan dalam kempen-kempen secara beradab,” katanya.

No comments:

Post a Comment