Sunday, September 15, 2013

Tian Chua, Adam Adli, 4 Lagi Dibicara Berasingan


Perbicaraan kes membabitkan Naib Presiden PKR, Tian Chua, bekas penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli dan empat yang lain yang didakwa memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah pada 13 Mei lalu, akan dijalankan secara berasingan.

Demikian diputuskan hakim Mahkamah Sesyen, Norsharidah Awang semasa prosiding kes itu, kelmarin. 

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang bersama Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia Muhammmad Safwan Anang @ Talib, 24, ahli Pas Mohd Tamrin Abdul Ghafar, 63, serta dua aktivis pembangkang Haris Fathillah Mohamed Ibrahim, 54, dan Hishamuddin Md Rais, 62, didakwa memberi ucapan berbaur hasutan dalam satu ceramah di Dewan Perhimpunan Cina, Mei lepas.

Dalam penghakimannya, Norsharidah berkata, keputusan itu dibuat demi keadilan supaya tidak memprejudiskan semua tertuduh memandangkan masa dan teks ucapan setiap mereka adalah berbeza. 

“Dengan bicarakan enam kes ini secara berasingan juga akan memudahkan mahkamah mengendalikan kes serta boleh mengelakkan berlaku penangguhan prosiding apabila ia mula dibicarakan nanti,” katanya. 

Berikutan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan untuk Adam Adli pada 27 hingga 29 November ini, manakala Hishamuddin Rais akan dijalankan pada 5 dan 6 Disember depan.

Mahkamah menetapkan 19 September depan bagi menetapkan tarikh perbicaraan Tian Chua, yang juga merupakan Ahli Parlimen Batu itu.

Perbicaraan bagi Safwan Anang pula ditetapkan pada 2 hingga 4 Disember, manakala perbicaraan Mohd Tamrin akan dijalankan pada 12, 13, dan 16 Disember depan. Perbicaraan bagi aktivis pro pembangkang. Harith Fathillah pula dijadualkan berlangsung 15 dan 16 Jun tahun depan.

No comments:

Post a Comment