Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan menawarkan program sarjana dalam bidang keusahawanan gunaan bermula Mac depan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda berkaliber.
Penolong Naib Canselor Akademi Pembangunan Industri Kecil, Sederhana dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM, Prof Dr Razmi Chik berkata program itu berbeza dengan kursus lain kerana akan menekankan aspek teknikal berbanding penulisan tesis yang bersifat akademik dan teori.
"Kita sudah mendapat kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia berhubung perkara ini dan temu duga akan dijalankan bagi mengenal pasti calon yang layak," katanya selepas merasmikan Persidangan Akademik Antarabangsa 2013, di Kuala Terengganu, Khamis.
Katanya graduan juga berpeluang menerima geran untuk memulakan perniagaan jika tesis yang dikemuka mereka berpotensi dan mempunyai prospek perniagaan yang menguntungkan.
Selain itu, pihaknya juga akan bekerjasama dengan Pusat Inkubator Malaysian Technology Development Corporation Sdn. Bhd (MTDC) yang baharu ditubuhkan di UiTM bagi membimbing graduan terpilih.
Pelaksanaan program ini juga amat bertepatan dengan pelancaran pelan Memperkasakan Ekonomi Bumiputera baru-baru ini yang menyediakan peruntukan khusus untuk usahawan berinovasi, katanya.
No comments:
Post a Comment