Sunday, September 15, 2013

Wan Ahmad Nizam Ganti Che Mat Jusoh Sebagai Presiden Baharu PBSNT

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dilantik sebagai presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang baharu bagi menggantikan Datuk Che Mat Jusoh.

Che Mat, 64, menyandang jawatan itu lebih 14 tahun. Wan Ahmad Nizam, yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Daerah Kemaman, menang tanpa bertanding pada Kongres Tahunan Luar Biasa PBSNT 2013 bagi memilih pucuk pemimpin baharu persatuan itu di Kuala Terengganu, semalam.

Naib presiden Marzuki Sulong, yang juga pengurus pasukan Terengganu, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah, yang juga naib presiden, masing-masing dilantik sebagai timbalan presiden yang baharu.

Mazlan menggantikan Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusof yang meletakkan jawatannya pada 25 Jun lepas.

Empat jawatan naib presiden disandang oleh Saidi Salleh @ Sulong, Ab.Rashid Jusoh, Abdullah Sulong dan Tuan Kechil Tuan Tengah, yang kesemua mereka menang tanpa bertanding.

Begitu juga lapan ahli eksekutif yang menang tanpa bertanding iaitu Ali Embong, Haslam Hashim, Zaki Ismail, Mohd Rashid Hamat, Abdullah Salleh, Mohd Sekanther Abd Hamid, Wan Mohd Azlizan Abu Bakar dan Wan Zulkifli Wan Gati.

Seramai 38 perwakilan daripada semua persatuan di bawah naungan PBSNT menghadiri kongres tersebut. 

Dalam ucapan penangguhan, Wan Ahmad Nizam berharap semua pihak dalam jawatankuasa tersebut akan memberikan sokongan dan kerjasama kepada beliau demi untuk kemajuan bola sepak negeri ini.

"Kita lupakan masalah yang lama dan marilah kita sama-sama membina sejarah baharu selepas ini," katanya. 

Sementara itu, Che Mat mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang banyak menghulurkan sumbangan kewangan bagi membantu kemajuan bola sepak di negeri itu.

Selain kerajaan negeri, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada penaja dan meminta mereka meneruskan tajaan dan sokongan kepada pasukan negeri itu.

Biarpun sudah berundur, katanya beliau akan tetap membantu PBSNT jika khidmat dan tenaganya diperlukan.

"Saya harap pasukan Terengganu akan lebih berjaya di bawah pimpinan Wan Ahmad Nizam tanpa dibayangi atau diganggu oleh sesiapa termasuk saya sendiri," katanya.

Bagaimanapun, Che Mat berkata beliau yakin dan percaya dengan kepimpinan Wan Ahmad Nizam dan barisan jawatankuasa baharu.

 Semasa di bawah kepimpinan Che Mat, Terengganu muncul juara Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih pada 2001 dan juara Piala FA pada 2011.

No comments:

Post a Comment