Seratus orang pengamal media dari 50 jabatan kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta anggota jawatankuasa Komuniti 1Malaysia di negeri ini menyertai program Luncheon Talk 2013 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu semalam.
Penolong Pengarah Kanan jabatan itu, Mustaffa Abd Kadir berkata program tahunan itu bertujuan membincangkan isu semasa selain mendekatkan jabatan berkenaan dengan agensi luar dan masyarakat.
"Hari ini kita membincangkan mengenai Media Sosial dan Keselamatan Negara yang mana kita lihat isu ini menjadi satu isu yang hangat diperkatakan mutakhir ini.
"Program ini juga dijadikan medan untuk para pengamal media berbincang dan bertukar-tukar pendapat mengenai isu ini," katanya pada sidang media selepas program Luncheon Talk 2013 di Kuala Terengganu yang dirasmikan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu Shamsuddin Sulong.
Shamsuddin, yang menyambut baik program anjuran Jabatan Penerangan itu, berkata program sedemikian harus diperbanyakkan supaya masyarakat tahu mengenai isu semasa yang sedang berlaku baik di dalam mahupun di luar negara.
"Program ini dapat dijadikan pentas untuk para pengamal media bertukar-tukar pandangan selain merapatkan hubungan antara mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment