Monday, October 21, 2013

Ahmad Said - Gerakkan Strategi Rampas Kawasan Di Kuasai Pembangkang


Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mahu kepemimpinan bahagian dan sayap-sayap yang baharu terus merencana agenda bagi mengukuhkan UMNO negeri itu. 

Katanya, semua perlu berhenti bercakap soal kekalahan atau kemenangan pada pemilihan UMNO dan sebarang pergeseran berbangkit perlu diketepikan agar dapat bersama-sama menyusun dan mengerakkan strategi bagi merampas semula kawasan yang dikuasai pembangkang.

Ahmad Fikry
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, barisan kepemimpinan UMNO negeri yang terdiri daripada muka baharu serta lama merupakan satu gandingan mantap untuk meneruskan misi parti selain mengharapkan kewibawaan dan pengalaman calon yang tewas dapat digembeling bersama.

"Saya tahu pada pemilihan kali ini banyak muka baharu yang menerajui Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri yang merupakan suara dan kehendak akar umbi, maka kita akan sebaik mungkin untuk bersama-sama dalam satu barisan mengukuhkan parti ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan UMNO Bahagian Kemaman di Majlis Perbandaran Kemaman dekat Chukai, kelmarin.

 Pada pemilihan itu, Ahmad Said berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman apabila beliau memperoleh 757 undi sekali gus menewaskan pencabarnya, Mat Dalam Awang yang sekadar memperoleh 41 undi.

Pemilihan UMNO kelmarin,  menyaksikan enam daripada lapan Ketua UMNO Bahagian di negeri ini diterajui muka baharu iaitu Kuala Nerus, Marang, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu serta Besut manakala dua lagi bahagian, penyandangnya berjaya mempertahankan jawatan masing-masing iaitu Setiu dan Kemaman.

Dalam pada itu, Ahmad Said turut mengumumkan pelantikan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kemaman, Ahmad Fikry Ibrahim sebagai Pegawai Khas Menteri Besar bagi kawasan Cukai manakala Naib Ketua UMNO Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dilantik Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai.

No comments:

Post a Comment