Sunday, October 27, 2013

24,330 Lagi Murid KAFA Terengganu Khatam Al-Quran

Sebahagian murid Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) negeri Terengganu yang diraikan dalam majlis khatam al-Quran secara serentak di seluruh negeri di Kuala Terengganu, semalam. 
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menyampaikan sijil kepada pelajar terbaik KAFA.
Seramai 24,330 murid Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) negeri Terengganu diraikan dalam majlis khatam al-Quran secara serentak di seluruh negeri semalam.

Jumlah tersebut merupakan yang tertinggi dicatatkan seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk membudayakan al-Quran dalam jiwa rakyat bermula di peringkat usia awal.Tahun lalu ia membabitkan 21,610 pelajar.

Majlis khatam al-Quran telah diadakan serentak hari ini di tujuh daerah iaitu Kuala Terengganu (6,830); Besut (3,518); Setiu (3,198); Dungun (2,926); Kemaman (2,816);Marang (2,805) dan Hulu Terengganu 2,237.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan negeri sememangnya komited bagi memastikan sebahagian besar murid sekolah rendah di negeri ini khatam al-Quran sebelum menjejakkan kaki ke sekolah menengah.

Beliau berkata, dengan pencapaian yang terus melonjak itu, kerajaan negeri meningkatkan sasaran sehingga mencecah 50,000 murid kelas KAFA di negeri ini berupaya khatam al-Quran setiap tahun dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

"Saya sebut berulang kali soal ini. Kalau mereka pergi sekolah menengah sebelum khatam, maka peratusan untuk khatam begitu kecil. Alasannya, susah nak mengaji, masa terhad, malu dengan kawan-kawan dan sebagainya," katanya.

Ahmad Said berkata kerajaan negeri akan memastikan semua pelajar di sekolah rendah di negeri ini akan khatam al-Quran sebelum melangkah ke tingkatan satu .

Katanya, melalui perlaksaaan itu, dia percaya mampu dillaksanakan sebaiknya mungkin dengan kerjasama pebagai pihak. “Kita beri penekanan khusus terhadap murid di sekolah rendah kerana apabila melangkah ke sekolah menengah, komitmen pelajar terhadap pengajian al-Quran semakin menurun mungkin disebabkan pelbagai tugasan perlu diuruskan.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran untuk murid kelas KAFA di Stadium Tertutup Gong Badak semalam dengan dengan 6,830 murid dari kawasan Parlimen Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di samping sekitar Batu Rakit dan Manir diraikan.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib; Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ramlah Yong; Pengarah Pelajaran negeri, Zakaria Husain dan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT), Md. Kamarul Al-Amin Ismail.

Majlis khatam al-Quran yang diadakan di Besut.
Sementara itu di Besut, seramai 3,518 murid KAFA dari sekolah rendah di daerah ini menyertai Majlis Khatam al-Quran peringkat Parlimen itu di Masjid Nasiruddin Shah Kampung Raja, semalam.

Perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Muhammad Pehimi Yusof serentak dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK).

Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud dipilih sebagai Sekolah Terbaik Khatam al-Quran tahun ini dengan menerima hadiah sebanyak RM500 bersama sijil manakala Sekolah Cemerlang UPKKK tahun lalu dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Kampung Raja dengan hadiah RM500.

Sementara itu pelajar terbaik, Nur Ayuni Mohd Zin dari Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dipilih sebagai pelajar terbaik UPKK bagi DUN Kuala Besut manakala pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Raja, Siti Aishah Mohd Nasir terpilih pelajar terbaik DUN Kota Putera.

Bagi DUN Hulu Besut, pelajar terbaik dimenangi pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Muhammad Yamin Mat Rusdi manakala pelajar terbaik DUN Jerteh dimenangi oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Tanah Merah, Hanis Ayuni Hadi.

No comments:

Post a Comment