Thursday, October 31, 2013

Bomba Terengganu Siap Sedia Hadapi Banjir

Seramai 700 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu telah dikerah untuk menghadapi banjir menjelang musim tengkujuh.

Pegawai Perhubungan JBPM Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata mereka akan ditempatkan di semua 15 balai di seluruh negeri dan sekiranya jumlah itu tidak mencukupi, 314 anggota sukarela akan turut dikerah.

"Pihak kami juga telah menyediakan 50 buah bot dan lima buah lori untuk kerja-kerja menyelamat," katanya.
Beliau berkata bagi melicinkan lagi operasi bomba, cuti pegawai dan anggota bomba akan dibekukan secara berperingkat.

Sementara itu kerajaan negeri dilapor telah mewujudkan 118 pangkalan hadapan bagi menempatkan bekalan makanan dan keperluan asas untuk disalur kepada mangsa.

Maklumat mengenai banjir boleh diperoleh dengan menghubungi Bilik Gerakan Majlis Keselamatan Negeri di talian 09-6222231 dan 09-6316021, Bilik Gerakan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di talian 09-6354743 serta Bilik Gerakan JKR di talian 09-6274092.

No comments:

Post a Comment