Saturday, October 5, 2013

Ahli Perniagaan Cabar Husam Yang DiPertua PAS Kubang Kerian

Nudin...sokongan dan dorongan daripada akar umbi.
Selepas lebih dua penggal tidak dicabar, akhirnya pemilihan Pas kali ini bakal menyaksikan jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Kubang Kerian disandang Datuk Husam Musa akan ditentang Ketua Pas Cawangan Sungai Machang, Nudin Awang, 56.

Mesyuarat pemilihan Pas kawasan berkenaan akan berlangsung hari ini.

Nudin yang juga ahli perniagaan menyatakan hasrat untuk mencabar jawatan itu setelah mendapat sokongan dan dorongan daripada akar umbi.

“Hasrat untuk rebut jawatan ini lahir dua tahun lalu, bukan mempunyai niat tersirat, sebaliknya ingin berkhidmat kepada rakyat khususnya di Kubang Kerian.

“Selain itu, apabila ada pertandingan, ia membuktikan amalan demokrasi dalam Pas amat subur sebab semua ahli Pas berhak menjadi calon dan dicalonkan bagi mana-mana jawatan sebagaimana peruntukan dalam undang-undang tubuh parti,” katanya semalam.

Nudin berkata, tidak timbul isu tidak puas hati atau sebagainya terhadap penyandang sedia ada, namun ia lebih kepada memberi khidmat kepada kumpulan lebih luas setelah lebih dua penggal berbakti di Sungai Machang.

“Saya akan membuat beberapa pembaharuan dalam organisasi Pas Kawasan Kubang Kerian ke arah lebih mesra pelanggan dan menggunakan platform mesyuarat jawatankuasa secara lebih berkesan,” katanya. 

Beliau yang juga bekas Bendahari Pemuda Pas Kubang Kerian turut berazam membangunkan Kompleks Pas Kubang Kerian sebagaimana harapan dan desakan kecil penyokong serta ahli akar umbi

 “Semoga dengan peluang dan ruang ini akan menjadi titik permulaan kepada Pas Kawasan Kubang Kerian untuk lebih berdaya saing, sesuai dengan perkembangan politik Kelantan yang semakin mencabar,” katanya.

No comments:

Post a Comment