Saturday, October 5, 2013

Elak Nikah Mutaah, Jangan Rosak Keturunan


Pendakwah terkenal, Dr Zaharuddin Abd. Rahman menegaskan perkahwinan mutaah sepertimana yang menjadi amalan dalam ajaran Syiah sebenarnya akan merosakkan keturunan.

Menurutnya, perkahwinan ini akan menyebabkan keturunan pasangan yang kahwin mutaah menjadi "rojak" sepertimana yang pernah berlaku di negara Iran.

“Di negara Iran, sebuah kitab menceritakan kisah bagaimana seorang lelaki yang bermutaah sejak berumur 20 tahun telah mengahwini anaknya ketika beliau berumur 40 tahun.

“Dari kisah ini, kita dapat ambil pengajaran bagaimana perkahwinan mutaah ini boleh menjejaskan nasab keturunan seseorang sehinggakan ayah berkahwin dengan anak sendiri,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap laporan berita semalam yang melaporkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam) telah mengesan kes pertama cubaan seorang gadis untuk berkahwin dengan bapa saudaranya seorang pengikut fahaman Syiah.

Dr Zaharuddin Abd. Rahman turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati jika didatangi oleh kelompok yang cuba membawa ajaran Syiah.

“Berhati-hati dengan orang yang cuba mendekati anda dengan membawa ajaran Syiah ini, jika dia menceritakan kepada anda mengenai kisah Ahlu- Bait(keluarga nabi) tetapi dalam masa yang sama menghina sahabat nabi terutama Saidina Abu Bakar dan Saidina Omar Al-Khattab, jelas itu perlakuan ajaran Syiah, cuba hindari kelompok ini,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment