Sunday, October 13, 2013

Asfalinda Gagal Pertahan Jawatan Ketua Puteri Kemaman

Shaheda...Puteri Setia, Puteri Perkasa
Penyandang kerusi Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman, Asfalinda Anuar gagal mempertahankan kerusi tersebut selepas tewas kepada Shaheda Jusoh pada pemilihan sayap parti itu di Kemaman, semalam.

Asfalinda (kanan), bekas Ketua Puteri Terengganu yang merupakan satu-satunya Ketua Puteri bahagian di Terengganu yang mempertahankan jawatan tersebut manakala tujuh lagi penyandang melepaskannya kepada calon baharu setelah melepasi had umur.

Bagi jawatan Naib Ketua bahagian pula, Malissa Ab. Solah yang pernah menyandang jawatan tersebut pada 2000 hingga 2008, kembali menduduki kerusi tersebut selepas menewaskan Faradila Yusof.

Sementara itu, Puteri bahagian tersebut memilih Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia manakala Zahida Zarik Khan sebagai Naib Ketua Puteri.

Seramai 465 orang perwakilan puteri dari 93 cawangan semalam menjadi penentu nasib kepada Asfalinda dan Shaheda.

Shaheda, Naib Ketua Puteri UMNO Bahagian Kemaman mengatakan sebelum ini, beliau mencabar Asfalinda kerana ingin membantu Umno membawa perubahan dan memperkasa modal insan yang berintergriti, berilmu serta mendapat sokongan ahli akar umbi.

Dilahirkan di Sungai Petani Kedah, anak kepada bekas seorang tentera, Shaheda mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kijal (1986 – 1991) Sekolah Menengah Kebangsaan Kijal (1992 – 1996) dan Universiti Teknologi Malaysia (1997 – 2001).

Beliau memperolehi ijazah sarjana muda kejuruteraan kimia.

Beliau merupakan saorang ibu tunggal kepada empat orang anak hasil perkahwinannya dengan Allahyarham Azihan Abdul Aziz yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Kemaman yang juga Setiausaha Kerja Umno Bahagian Kemaman (1994 – 2001).

Apabila tamat belajar pada tahun 2001, Shaheda  dilantik sebagai penggerak masyarakat di bawah Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu.

Pada tahun 2004 beliau dilantik sebagai penggerak masyarakat kanan di Unit Terengganu Bestari ( U-Best ) dan tahun 2009 beliau dilantik sebagai Pegawai Penyelia Parlimen Kemaman, Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu ( APMT ).

Kegiatan awal beliau dalam politik apabila dipilih sebagai Ketua Puteri Umno Cawangan Telok Kalong dan juga Ahli Jawatankuasa Puteri Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2000.

Pada Tahun 2008 beliau dipilih sebagai Naib Ketua Puteri Umno Bahagian Kemaman.

Pada tahun 2008 Shaheda yang lebih mesra dengan panggilan Kak Cik pernah ditawarkan menjawat jawatan Ketua Puteri Bahagian oleh mantan Ketua Puteri ,Hidayati Baharudin tetapi beliau terpaksa menolak tawaran itu disebabkan banyak komitmen lain yang perlu dilakukan dan belum bersedia memikul amanah yang begitu berat.

“Sekarang saya sudah bersedia memikul tanggung jawab ini,” katanya kepada FMT yang menganggap cabaran beliau terhadap penyandang jawatan sebagai memberi satu pilihan kepada para perwakilan.

Dengan slogan “Puteri Setia, Puteri Perkasa”, Shaheda mempunyai tiga misi iaitu melonjakkan keahlian ahli Umno, memperkasakan modal insan dan menjadikan Puteri Umno sebagai ejen yang taat kepada parti dan menentang isu.

No comments:

Post a Comment