Lembaga Disiplin Umno hanya akan bertindak terhadap mana-mana laporan tentang salah laku calon sepanjang pemilihan parti jika ia dibuat secara bertulis.
Pemangku Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, sejak semalam beliau menerima banyak panggilan telefon daripada calon dan anggota perwakilan yang membuat aduan kononnya terdapat salah laku calon-calon yang bertanding.
"Memang banyak yang diterima secara lisan sejak kelmarin.
"Apa yang boleh saya katakan, mereka (yang membuat aduan) perlu membuat laporan bertulis secara rasmi kerana kita (lembaga) hanya akan menyiasat sekiranya ada (laporan) hitam putih," katanya.
Megat Najmuddin mengulas dakwaan terdapat salah laku calon-calon yang bertanding pada pemilihan parti kali ini.
Selain itu, katanya, pengadu juga perlu mengemukakan bukti salah laku seperti yang dilaporkan sebelum tindakan lanjut diambil Lembaga Disiplin.
Dalam pada itu, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata proses pemilihan tiga sayap parti itu di Pulau Pinang berjalan lancar walaupun berlaku beberapa insiden kecil di awal mesyuarat.
"Sistem ini pertama kali diperkenalkan, oleh itu tentulah ada beberapa kelemahan. Kita akan perbaikinya dan selepas ini akan dibuat post-mortem," katanya kepada pemberita di Bukit Mertajam.
Secara keseluruhannya, mesyuarat dan pemilihan ketiga-tiga sayap di 191 bahagian Umno lancar kecuali sedikit masalah seperti kekeliruan berhubung status perwakilan Pergerakan Puteri di sebuah bahagian di Pulau Pinang.
Turut dilaporkan berlaku ialah masalah tertukar kertas undi membabitkan Pergerakan Puteri di dua bahagian di Selangor kerana disimpan di tempat sama.
Warna kertas undi dikatakan turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan sesetengah perwakilan.
No comments:
Post a Comment