Saturday, October 26, 2013

ATM Terima RM13.2 Bilion Untuk Mantapkan Kawalan Sempadan Negara


Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima peruntukan RM13.2 bilion dalam Bajet 2014 untuk meningkatkan kawalan keselamatan sempadan negara.

Perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata peruntukan itu menunjukkan keutamaan kerajaan dalam membanteras ancaman anasir luar yang mengganggu-gugat kesejahteraan negara.

Dalam memantapkan operasi dan peralatan pertahanan di perairan dan sempadan negara, kerajaan akan memperuntukkan RM2.4 bilion untuk menambah enam kapal peronda pesisir pantai (OPV), empat pesawat kargo serta pembelian peralatan sokongan dan kereta perisai.

"Bagi memantapkan operasi Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) kerajaan memperuntukkan RM75 juta bagi tahun 2014," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam.

Najib ketika membentangkan bajet itu turut menyentuh mengenai pencerobohan bersenjata di Lahad Datu yang disifatkannya sebagai tragedi hitam kepada negara.

Perdana menteri turut merakamkan sanjungan tinggi terhadap pengorbanan serta jasa bakti para perajurit dan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan tanah air

"Kata orang nan dititik nan dieja, nan ditilik nan ditimang, sedikit pun kita tidak lupa, sepanjang hayat tetap dikenang.

"Apa yang penting, kita tidak sekali-kali merelakan walau seinci pun tanah air ini dirampas oleh sesiapa. Sabah tetap bersama Malaysia selama-lamanya," katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan akan memperuntukkan RM48 juta bagi tujuan kebajikan 20,000 veteran ATM meliputi perubatan, ex-gratia dan pendidikan sebagai menghargai sumbangan mereka.

Najib juga mengumumkan peruntukan berjumlah RM202 juta untuk membina dan membaik pulih kuarters warga ATM. Kerajaan juga akan menyediakan perkhidmatan bas sekolah kepada anak-anak anggota tentera bagi menggantikan penggunaan trak askar, katanya.

No comments:

Post a Comment