Saturday, October 26, 2013
Bekas Pemain Skuad T-Team Didakwa Beri Keterangan Palsu
Seorang bekas pemain skuad Piala Presiden T-Team kelmarin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu atas tuduhan memberi keterangan palsu ketika menjadi saksi dalam perbicaraan berhubung kes mengatur perlawanan bola sepak pada hujung tahun lalu.
Mohd. Azuan Hussein, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di Mahkamah Sesyen 1 di Kuala Terengganu antara pukul 10 pagi dan 1 petang, 3 Disember tahun lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memberi keterangan palsu semasa perbicaraan kes terhadap ahli perniagaan, R.K. Rajendran dan bekas jurulatih pasukan Piala Presiden T-Team, Sufian Ngah di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen tersebut.
Dalam perbicaraan berkenaan, tertuduh didakwa telah memberi keterangan seperti berikut: "Sebelum perlawanan dengan Negeri Pahang, Sufian Ngah tiada berjanji atau suruh buat apa-apa dalam perlawanan ini."
Kenyataan tersebut bagaimanapun tidak selaras dengan kenyataan yang diberikannya kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Penolong Kanan Penguasa Ahmad Syukri @ Senek di pejabat SPRM negeri pada 4 Jun 2011 yang seperti berikut: "Gameseterusnya adalah T-Team menentang Pahang bertempat di Kuantan juga pada Februari 2010. Sebelum game bermula, Sufian telah beri arahan kepada saya, Shaqudin, Azwan Ali, Nizam dan Nazmir supaya T-Team menang.
"Saya telah terlupa berapa golkah mesti menang. Menurut Sufian, jika arahan itu dipatuhi, saya berlima akan diberikan duit oleh bookie."
Mohd. Azuan didakwa mengikut Seksyen 27(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan diperintah melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan sebagai syarat jaminan.
Sebutan kes ditetapkan pada 26 November ini.
No comments:
Post a Comment