Sunday, October 27, 2013

Bangunkan Syiar, Pendidikan Islam Lebih Penting Daripada Politik - Muhyiddin


Kerajaan pusat memberi bantuan kepada institusi keagamaan tanpa mengira fahaman politik demi meningkatkan syiar Islam dan kemajuan masa depan anak bangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membantu sekolah agama dan pondok yang memang memerlukan bantuan untuk meningkatkan pembangunannya termasuk dari segi kerohanian.

Beliau turut mengimbas pertemuannya dengan pimpinan sebuah pondok di Batu 16 Yan awal tahun ini yang mengeluh kerana diabaikan di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.

"Depa beritahu saya. Masa mula-mula Pas menang, merekalah yang paling seronok kerana mungkin dapat beri bantuan. Tetapi selepas tiga kali jumpa, tak tau lah depa jumpa sapa, satu sen pun tak dapat.

"Akhirnya kerajaan pusat yang bantu. Saya tak tanya pun depa orang Pas ka atau orang Umno. Itu hak masing-masing," katanya pada majlis ramah mesra bersama imam, guru pondok dan Kafa di Sekolah Kebangsaan Sungai Dedap di Yan, pagi semalam.

Menurutnya, peruntukan diberi bertujuan untuk meningkatkan kemudahan sekolah dan keselesaan guru serta pelajarnya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menyediakan peruntukan RM3.5 juta kepada tujuh sekolah agama dan pondok di sekitar Yan dari segi meningkatkan kemudahan makanan membabitkan 7,000 pelajar tidak lama dahulu

 Sehubungan itu, beliau berharap mereka dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan negeri agar calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim diberi peluang menjadi wakil rakyat dalam PRK Dun Sungai Limau.

"Jika calon BN menang, semua urusan akan menjadi lebih mudah kerana kerajaan negeri ditadbir oleh parti yang sama," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, isu berkaitan agama di negeri Kedah dianggap sebagai keutamaan dan institusi berkaitannya akan terus dibela kerajaan negeri.

Beliau berkata, pendekatan itu bukan sekadar cakap kosong tetapi merupakan komitmen berdasaran kemampuan kerajaan negeri dengan dibantu kerajaan pusat.

"Soal agama ini kita letak bab paling awal (terdahulu) dan kita beri keutamaan berkait dengan agama termasuklah dalam soal kebajikan sekolah pondok, maahad tahfiz, sekolah agama bantuan kerajaan, surau dan juga masjid.

"Sebab itu tidak pelik apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang (di sini) dan banyak berjumpa dengan warga pondok yang menunjukkan kesungguhan kerajaan pusat membantu sekolah pondok," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Asar berjemaah bersama Muhyiddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Pondok Moden Nahdzah, Bukit Besar dekat Yan, kelmarin.

Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM3 juta bagi pembinaan dewan makan Pondok Moden Nahdzah selain asrama bagi Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah yang terletak di hadapan pondok tersebut.

Pondok Moden Nahdzah merupakan pusat pengajian agama khas bagi warga emas yang dibuka pada Februari tahun ini yang menjadi pelengkap kepada SMA Nahdzah yang merupakan sekolah agama bantuan kerajaan yang dibuka sejak 1946.

Sementara itu Pengerusi Lembaga Pondok Moden Nahdzah dan SMA Nahdzah, Nasir Othman berkata ini kali pertama sumbangan sedemikian diterima pihaknya dan juga kali pertama pimpinan tinggi negara hadir ke pusat pengajian agama berkenaan.

"Ini (peruntukan) satu anugerah besar tak terduga. Ini bukan masalah politik tapi masalah pendidikan. Saya juga rasa seronok kerana pemimpin tertinggi ambil berat mengenai agama dan pendidikan umat Islam," katanya.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 40 pelajar di Pondok Moden Nahdzah dan 780 pelajar di SMA Nahdzah. "Kita punyai asrama yang mencukupi bagi Pondok Nahdzah. Cuma di SMA Nahdzah, asrama yang ada cuma mampu menampung 420 orang pelajar," katanya.

No comments:

Post a Comment