Sunday, October 27, 2013

Siew Keong Mahu Segera Dipulihkan Gerakan


Presiden Gerakan yang baharu Datuk Mah Siew Keong berkata beliau akan segera memulihkan parti. Beliau berkata pemegang jawatan parti yang baharu dipilih perlu segera bekerja termasuk memperkukuh perpaduan di kalangan anggota.

Siew Keong...janji pulih Gerakan
Dalam reaksi segera beliau sebaik keputusan pemilihan parti diumumkan, beliau berkata parti berusia 45 tahun itu menghadapi lebih banyak cabaran berbanding sebelum ini terutama ekoran prestasi lemahnya dalam dua pilihan raya umum lalu.

"Ia bukan tugas mudah. Tetapi saya fikir jika kita bekerja bersama sebagai atu pasukan, kita boleh menaikkan semula parti. Terdapat banyak perkara yang perlu kita buat. Selepas dua kekalahan, kita mengaku kita mempunyai kelemahan (untuk diatasi)," katanya kepada pemberita.

Beliau terpilih sebagai presiden setelah menewaskan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Chang Yeow dengan majoriti 509 undi.



Bekas setiausaha agung Gerakan ini memperoleh 1,086 undi sementara Teng mendapat 577 undi.

Pengumuman berhubung keputusan pemilihan itu dibuat oleh Penyelia Pemilihan yang juga merupakan Pengerusi Gerakan Terengganu, Yap Kia Peng kira-kira pada pukul 4.45 petang.

Kira-kira 1,640 perwakilan kebangsaan hadir ke persidangan itu yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Hadir sama, Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn; bekas Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Setiausaha Agung MIC, A. Sakthivel.

Sebelum ini, Ko Youn mengambil keputusan tidak bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan ini bagi memberi laluan kepada orang muda untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, Pengerusi Gerakan Kedah, Dr. Cheah Soon Hai berjaya meraih sebanyak 1,113 undi mengalahkan pesaingnya iaitu Pengerusi Gerakan Bahagian Kepong, Ma Woei Chyi yang memperoleh sekadar 545 undi iaitu perbezaan undi sebanyak 568 undi.

Dalam pada itu, pertarungan bagi jawatan Naib Presiden yang menyaksikan pertembungan lima penjuru pula telah dimenangi oleh Pengerusi Gerakan Johor, Teo Kok Chee dengan sebanyak 1,226 undi.

Selain itu, dua calon lain iaitu bekas Pengerusi Gerakan Selangor, A. Kohilan Pillay dan seorang wakil Melayu, Dr. Asharuddin Ahmad turut muncul sebagai penyandang jawatan Naib Presiden dengan masing-masing memperolehi sebanyak 1,144 dan 1,104 undi.

Liang Teck Meng, Dr. Dominic Lau Hoe Chai, Lau Hoi Keong, B. Jayanthi Devi dan Lau Chin Hoon adalah antara 18 anggota jawatankuasa yang meraih bilangan undi tertinggi dipilih menerajui parti tersebut.

Sementara itu, Siew Keong ketika ditemui pemberita selepas pengumuman itu berkata, beliau gembira dan berterima kasih dengan kemenangan tersebut.

Beliau akan melantik Teng sebagai anggota jawatankuasa pusat parti bagi membolehkan Teng memainkan peranan lebih besar dalam politik nasional.

"Beliau (Teng) telah bersetuju bahawa kami bekerjasama untuk memastikan Pulau Pinang memberi keputusan baik di pusingan (pilihan raya umum) seterusnya," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan melaksana manifesto mengehadkan penggal presiden kepada maksimum dua tahun, beliau berkata perkara itu perlu mendapat kelulusan badan pembuat dasar parti.

Mengenai isu lain, beliau melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan percaya Gerakan masih mempuyai peranan untuk dimainkan dalam Barisan Nasional. Teng pula berkata beliau menerima keputusan pemilihan itu demi perpaduan Gerakan.

"Ia masanya untuk bersatu. Apabila kita menang, jangan terlalu gembira, bila kalah, jangan terlalu sedih," katanya. Persidangan perwakilan itu meluluskan 15 deklarasi yang bertujuan memulihkan parti selari dengan slogan parti 'Cara baharu, Harapan baharu dan Gerakan baharu'.

Ia antara lain mahu amalan kesederhanaan diteruskan, meminta semua parti politik berhenti bermain api perkauman dan agama serta menegakkan semangat Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan. 

Gerakan juga menggesa pihak polis menguatkuasakan undang-undang secara adil dan menghukum pertubuhan atau individu yang mengancam keamanan, keharmonian dan kestabilan negara bagi mengembali keyakinan rakyat kepada pasukan itu.


No comments:

Post a Comment