Friday, October 18, 2013

Bank Islam Taja Ibadah Korban Di Terengganu

Sambutan hari ketiga Aidiladha di Terengganu semalam terus meriah dengan ibadah korban diadakan di merata tempat dan pagi tadi, satu program ibadah korban anjuran Bank Islam bagi wilayah timur diadakan di Kampung Gemuruh dekat Kuala Terengganu.

Bank Islam juga pada tahun ini menyumbangkan sebanyak 22 ekor lembu untuk melaksanakan ibadah korban di beberapa masjid dan surau di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sarawak dan menyumbangkan RM45,000 dana zakat kepada orang miskin, ibu tunggal, anak yatim dan warga emas. 

Sebanyak empat ekor lembu disembelih di Kampung Gemuruh hasil sumbangan 28 kakitangan dan pelanggan bank tersebut yang diagihkan kepada penduduk kampung berkenaan sebagai tanda keprihatinan pihak bank dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

Pengurus Perbankan Pengguna Wilayah Timur Bank Islam Malaysia Berhad, Zameran Jusoh berkata dalam majlis itu juga, Bank Islam memperuntukkan sebanyak RM2,500 untuk tiga orang asnaf yang layak menerimanya bagi meringankan beban kewangan mereka.

"Ia merupakan sebahagian daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak bank untuk bersama-sama dengan masyarakat bagi menunjukkan keprihatinan kita untuk membantu mereka yang susah dan yang memerlukan bantuan.

"Insya-Allah usaha begini akan kami teruskan dari masa ke semasa, " katanya di Kuala Terengganu, semalam.

Bagi penduduk kampung pula, program itu bukan sahaja merapatkan hubungan mereka bersama kakitangan Bank Islam malah mereka gembira dengan kesudian pihak bank tersebut yang meraikan penduduk kampung.
Bagi penerima zakat Hasli Malek, beliau meyifatkan sumbangan yang diterima dapat meringankan beban kewangannya. Katanya beliau mahu membelanjakan duit zakat yang diterimanya itu untuk keperluan dapur dan berharap Bank Islam akan meneruskan sumbangan zakat pada masa akan datang.

"Saya rasa seronok sangat hari ini dan bangga serta hormat pada pegawai-pegawai Bank Islam kerana turun padang dan beramah mesra dengan keluarga orang kampung di sini," katanya.

No comments:

Post a Comment