Wednesday, October 9, 2013

BN Sedia Hadapi PRK Dun Sungai Limau - Muhyiddin


Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kerana mahu menawarkan khidmat bakti kepada rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata walaupun DUN Sungai Limau dianggap kubu kuat PAS, tetapi BN juga pernah menang di kawasan DUN itu.

"Prospek menang ada. Tak boleh andaikan hanya kerana sejarah kawasan ini dimenangi oleh PAS yang terakhir oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak (pada pilihan raya umum ke-13).

"BN macam biasa nak tawarkan khidmat bakti dan perjuangan yang kita boleh lakukan untuk membela penduduk di Sungai Limau. Sebab itu kita bersedia bertanding, buat yang terbaik supaya DUN Sungai Limau akan terus dimajukan dan dibangunkan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan BN dan Umno peringkat negeri Kedah dan Bahagian Jerai di Jitram senalam.

Katanya BN telah mempunyai profil pengundi di kawasan DUN Sungai Limau supaya ia dapat memenuhi aspirasi pengundi serta membantu mereka.

Muhyiddin berkata BN mahu berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu kerana mengetahui sebahagian besar penduduknya terbabit dalam sektor pertanian

 "Ada pesawah, ada nelayan, ada kerja sendiri. Itu (berkhidmat kepada rakyat) tujuan kita untuk tawarkan diri bertanding. Kita akan ambil pendekatan cukup berhemah. Ceritakan yang baik, yang hak supaya pengundi beri pertimbangan sewajarnya kepada calon (BN)," kata Muhyiddin.

Katanya BN perlu memahami kehendak setiap pengundi dan walaupun dikatakan 'underdog', kemenangan tidak mustahil dicapai kerana sifat manusia boleh berubah.

"Kita faham manusia boleh berubah kalau guna strategi berhemah. Kena faham kehendak setiap pengundi. Pengundi adalah raja, kena faham kehendak dan aspirasi mereka.

Jentera parti kena jumpa mereka dan jelaskan perjuangan parti. Ada syarat-syarat perlu dipenuhi uuntuk capai kemenangan," katanya.

Muhyiddin berkata walaupun ketika ini Umno turut menghadapi pemilihan parti di peringkat bahagian pada 12 dan 19 Okt ini, beliau telah diberikan jaminan oleh pimpinan Umno Bahagian Jerai, ia tidak akan menjejaskan persiapan menghadapi PRK.

"Jentera yang telah dibentuk akan bekerja dalam apa jua keadaan. Walaupun pemilihan parti ada yang menang dan ada yang kalah, mereka berjanji akan bekerjasama dan saling membantu supaya ia tidak memberi kesan dalam PRK," kata Muhyiddin.

Katanya dalam pertemuan dengan pimpinan Umno dan BN negeri dan bahagian itu, beliau ada membangkitkan mengenai soal soal perpaduan di kalangan pimpinan negeri dan yang paling penting di peringkat bahagian.

"Kita ambil kira selepas proses pemilihan. Sama ada pemimpin boleh bekerjasama walaupun kalah. Tadi mereka janji akan terus bekerjasama tak mengambil kira keputusan pemilihan 12 dan 19 Okt ini," katanya. 

Katanya berdasarkan laporan di peringkat negeri dan bahagian yang disampaikan kepada beliau, sudah ada perancangan oleh jawatankuasa di peringkat negeri yang dipimpin Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

"Di peringkat bahagian turut akan dibantu oleh Anggota Parlimen (Datuk Seri Jamil Khir Baharom). Ada 19 pusat daerah mengundi. Penempatan bahagian-bahagian di Kedah dah ditetapkan. Bantuan negeri-negeri dah disenaraikan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau diadakan pada 4 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan 23 Okt.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai diisytihar kosong berikutan kematian Azizan penyandang dan bekas Menteri Besar Kedah, pada 26 Sept lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 Mei lalu, Azizan mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 untuk PAS, dengan menewaskan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN dengan majoriti 2,774 undi.

No comments:

Post a Comment