Wednesday, October 9, 2013

Pilih Calon Berintegriti, Bukan Populariti : Syed Ali

Perwakilan Umno dinasihati supaya memilih calon yang benar-benar berwibawa dan berintegriti, bukan bersandarkan kepada populariti menjelang pemilihan parti 19 Oktober ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata perwakilan perlu bijak membuat penilaian kerana keputusan mereka bakal menentukan masa depan parti.

Katanya, Umno memerlukan pemimpin berwibawa untuk membina semula kekuatan parti dan sokongan orang Melayu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.


Umno ibarat pohon rendang yang perlu dibajai setiap hari, ia perlu dijaga dan pastikan akarnya terpasak kukuh di bumi, jangan dibiarkan layu sehingga tidak lagi menjadi teduhan umat Melayu, tegas beliau dalam laman blogwww.umnobahagiancheras.blogspot.com.

Syed Ali berkata rakyat sedang memerhati perjalanan pemilihan parti kerana mereka khuatir Umno akan jauh tersasar daripada matlamat asalnya jika dibarisi oleh pemimpin berkepentingan dan bermegah diri. 

Justeru, katanya perwakilan sewajarnya mempunyai soalan untuk diajukan kepada setiap calon apakah agenda mereka memperkasakan perjuangan parti atau tersembunyi muslihat disebaliknya.

Bagaimanapun katanya, perwakilan sudah boleh membaca gerak mereka yang bertanding berebut jawatan dalam parti termasuk yang hanya bersandarkan kepada populariti.

Oleh sebab itu, perwakilan disarankan memilih calon yang benar-benar berkelayakan, berintegriti dan mempunyai wawasan kearah penambaikan parti, ujar beliau.

Menurut Syed Ali lagi pemimpin Umno perlu menerima hakikat bahawa sokongan orang Melayu terhadap Umno tidak akan bertahan lama jika matlamat perjuangan untuk rakyat diabaikan.

Kita tidak ada pilihan selain memberi fokus bagaimana untuk membina semula kekuatan parti, mengekalkan tahap sokongan orang Melayu terhadap Umno, katanya.

Syed Ali berkata pemilihan Umno 19 Oktober ini harus dijadikan medan untuk mengukur keupayaan dan sejauhmana kekuatan parti bagi mengharungi cabaran semasa.

Oleh sebab itu katanya Umno memerlukan barisan pemimpin yang bertanggungjawab dan mampu menyalurkan input serta sokongan terhadap kepimpinan Datuk Sei Najib Tun Razak selaku Presiden dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru, perwakilan bertanggungjawab meletakkan pemimpin yang mempunyai kredibilti dan tidak menyusahkan kepimpinan Najib dan Muhyiddin, tegas beliau.

No comments:

Post a Comment