Sunday, October 27, 2013

Bukan Islam Tidak Layak Jadi Peguam Syarie

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) mengalu-alukan orang bukan Islam mempelajari undang-undang Islam, tetapi tidak semestinya mereka boleh menjadi peguam syarie.

Presiden PGSM, Musa Awang, berkata kelayakan akademik tidak cukup untuk melayakkan mereka menjadi peguam syarie kerana kebanyakan undang-undang pentadbiran Islam negeri mewajibkan peguam syarie mesti beragama Islam.

Katanya, Johor mengenakan syarat itu sejak 1982, diikuti beberapa negeri lain seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah.

“Peguam syarie di Kuala Lumpur juga mesti beragama Islam berdasarkan Perkara 10 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan sejak 1993,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Peranan Peguam Syarie Dalam Sistem Pentadbiran Kehakiman Islam di Malaysia: Sejarah, Cabaran dan Hala Tuju. Seminar Amalan Guaman Syarie bertemakan Pemantapan Profesion Guaman Syarie adalah anjuran PGSM Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, Prof Madya Dr Ramizah Wan Muhammad, dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat bahawa bukan Islam perlu dibenarkan menjadi peguam syarie.

Katanya, ini juga adalah antara kaedah berdakwah kerana peguam syarie bukan Islam akan terdedah kepada al-Quran, hadis dan ajaran Islam secara keseluruhan.

“Kehadiran peguam syarie bukan Islam juga membolehkan Mahkamah Syariah meluaskan bidang kuasa kepada pesalah bukan Islam dan mewujudkan persaingan sihat di kalangan peguam Islam dan bukan Islam. 

“Saya yakin cara ini membolehkan kita membetulkan pandangan bukan Islam terhadap undang-undang Islam yang sebenarnya adil,” katanya.

Resolusi seminar Sementara itu, resolusi seminar memutuskan menyokong Fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan menjadi peguam syarie dan mahu syarat sedia ada dalam undang-undang pentadbiran Islam negeri dipertahankan.

Seminar juga menggesa PGSM mencadangkan kepada kerajaan supaya melantik orang Islam berkelayakan dan berkemahiran dalam ilmu syariah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Sivil.

Ini bagi mendengar dan memutuskan kes berkaitan agama Islam yang Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa itu.

Resolusi disampaikan wakil peguam, Mohd Nor Md Din, kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Kamal Amran Kamarudin, disaksikan Pengarah Seminar yang juga Pengerusi PGSM Negeri Sembilan, Hanif Hassan.

No comments:

Post a Comment