Saturday, October 26, 2013

Dua Anak Syarikat Kerajaan Terengganu Jalin Kerjasama Tingkat Kesedaran Mengenai Kesihatan



Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, dua anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu, TDM Berhad dan Manis FM bekerjasama mengadakan satu program bual bicara radio selama sejam seminggu bermula Khamis depan

Pengurus Besar Kumpulan Kesihatan, Sumber Manusia dan Pemasaran TDM Bhd, Abdul Khalif Mohamad Salleh berkata program yang dinamakan "Kesihatan dan Anda" itu bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan.

"Program ini akan dikendalikan oleh seorang penyampai radio dan seorang pakar perubatan dari Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) dan mereka sedia memberi khidmat nasihat mengenai penjagaan kesihatan kepada orang ramai.


"Untuk permulaan, sembilan doktor pakar akan membincangkan 12 topik yang telah disusun atur setiap minggu dan pendengar berpeluang untuk membuat temu janji dengan doktor berkenaan," katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, Khamis.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Manis FM, Che Abd Rani Mohd dan Ketua Pegawai Eksekutif KTS, Zawiah Sharif.

Menurutnya, kerjasama buat julung kalinya dengan stesen radio milik kerajaan negeri itu akan memberi maklumat mengenai penyakit tertentu serta mendengar masalah kesihatan pendengar berdasarkan slot yang disusun atur setiap minggu.

Sementara itu, Che Abd Rani berkata program itu akan diadakan mulai 10 pagi hingga 11 pagi setiap hari Khamis kerana pihaknya mensasarkan pendengar yang berada di rumah.

"Kita juga akan mengadakan siaran ulangan pada pukul 5 hingga 6 petang supaya pendengar yang pulang bekerja dapat mendengar slot ini.

Katanya, pihaknya berharap pendengar dapat mengambil peluang untuk mengetahui lebih dekat mengenai perkhidmatan dan kemudahan disediakan KTS, selain meningkatkan bilangan pendengar stesen Manis FM. 

KTS merupakan sebuah hospital milik TDM Berhad selain Kuantan Medical Centre (KMC), di Pahang, Kelana Jaya Medical Centre (KJMC), Petaling Jaya, Selangor, serta Taman Desa Medical Centre Sdn Bhd (TDMC Hospital), Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment