Gabungan kepimpinan baharu dan lama dalam Umno bahagian di negeri ini perlu bersatu hati untuk memenangi semula beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata antara kerusi DUN yang perlu diberi perhatian ialah Tepoh, Rantau Abang, Alor Limbat, Paka dan Teluk Pasu yang menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) kalah tipis.
"Lupakan pertandingan dalam pemilihan Umno yang sudah berlalu, kini masanya untuk kita semua rapatkan saf kepimpinan Umno negeri Terengganu dan berganding bahu untuk mencapai matlamat itu," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penampilan 100 peratus muka baharu di kelapan-lapan bahagian bagi jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Puteri serta empat ketua bahagian.
Ahmad berkata gabungan muka lama dan baharu yang mengetuai Umno bahagian dilihat mampu membantu memperkuat parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Ketua bahagian yang kalah pada pemilihan Sabtu lepas ialah Datuk Rosli Mat Hassan (Dungun), Datuk Yahya Khatib Mohamad (Marang), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus).
No comments:
Post a Comment