Tuesday, October 22, 2013

1,623 Calon STPM Terengganu Terima Bantuan Pendidikan RM1,000





Sebanyak 1,623 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Terengganu menerima bantuan pendidikan RM1,000 seorang daripada Yayasan Terengganu semalam.

Bantuan itu yang disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bertujuan membantu pelajar membeli kelengkapan bagi menghadapi peperiksaan bulan depan.

"Sejak kita mulakan program bantuan ini pada 2008, memang nampak perubahan dari segi peningkatan keputusan akademik yang semakin bertambah baik dari semasa ke semasa.

"Terengganu adalah satu-satunya negeri yang ada program sumbangan wang tunai seperti ini kepada semua pelajar STPM, tanpa mengira status dan latar belakang ekonomi keluarga mereka," kata Ahmad Said kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu di Kuala Terengganu.

Menteri Besar berkata setiap tahun kerajaan negeri membelanjakan RM15 juta hingga RM17 juta sebagai bantuan pendidikan kepada pelajar dari sekolah rendah hingga pelajar universiti.

"Untuk murid yang mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan berjaya masuk ke sekolah berasrama penuh, kita beri RM500, pelajar kursus sijil (RM500), program diploma (RM750) dan ijazah (RM1,000).

"Ini semua adalah usaha kerajaan negeri untuk membantu pelajar dari segi kelengkapan pelajaran yang lengkap agar mereka boleh menumpukan perhatian kepada pelajaran tanpa terbeban dengan masalah kewangan," katanya.

Sejak dimulakan pada 2008, sebanyak 12,754 pelajar STPM menerima bantuan itu membabitkan peruntukan RM12.6 juta.

Sementara itu, Teganukita melaporkan yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) penghujung tahun ini, menyatakan rasa terharu di atas pemberian wang RM1,000 yang di agih kerajaan negeri.

Pemberian itu khusus kepada pelajar rakyat Terengganu yang bersekolah dalam negeri ini dan tidak mendapat sebarang biasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka dalam tingkatan enam.

Pasangan kembar Azmira Syazleen dan Azrina Syazreen Azizul Rahim, 19 mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yayasan Terengganu (YT) yang telah mengeluarkan belanja besar untuk kemudahan pelajar STPM di negeri ini.

“Kami berkongsi perasaan gembira apabila tidak lagi perlu membebankan ibu bapa yang hanya bekerja sebagai mekanik untuk membeli barangan persekolahan. “Wang yang diperolehi ini akan digunakan sebaik mungkin, termasuk membeli buku rujukan dan tidak membazir dengan membeli barangan yang tidak berfaedah,” katanya yang ditemui di Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan YT.di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam.

Majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said. Turut hadir,Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib, Pengarah Yayasan Terengganu, Azmi Razik, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Datuk Abdul Razak Ismail serta Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan, Ngah Bidin. 

Penerima lain Nurin Sarahah Sofian yang juga pasangan kembar kepada Nurin Syatrah, 19 berkata, bantuan itu akan disimpan untuk kegunaan pada masa depan, termasuk membuatkan bayaran yuran sekiranya mendapat tawaran ke Institut Pengajian Tinggi.

“Saya terharu dengan pemberian ini yang sememangnya banyak membantu dalam pelbagai perkara, selain turut berasa bertuah menjadi anak didik Terengganu berikutan sumbangan seumpamanya ini tiada di negeri lain,” katanya.

 Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Bariah, Wong Yong Man, berkata dia akan menggunakan wang itu untuk menyambung pelajarannya dalam bidang komunikasi massa di luar Negara

“Bantuan ini dianggap sebagai pendorong dan semangat untuk saya berusaha lebih keras dalam pelajaran sekaligus membuktikan saya mampu berjaya,”, katanya yang pernah mengikuti program pertukaran pelajar di Australia.

No comments:

Post a Comment